Bahasa Malaysia - Written by mySarawak on Wednesday, March 26, 2008 10:00 - 0 Comments
Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia 2008 tampilkan kelainan
KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2008 bakal menampilkan kelainan dengan 14 kumpulan yang akan membuat persembahan adalah kumpulan-kumpulan muzik yang belum pernah menyertai festival itu sebelum ini.
Penasihat RWMF yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Gracie Veronica Geikie berkata, penampilan kumpulan muzik yang baru ini sejajar dengan harapan pihak penganjur untuk meletakkan RWMF di tahap lebih tinggi.
“Tahun lepas adalah penganjuran RWMF yang ke-10 dan tahun ini RWMF memasuki dekad yang kedua, dengan itu kita mahu membawa kumpulan muzik yang tidak pernah membuat persembahan sebelum ini dan pada masa sama mempamerkan kepelbagaian muzik yang hebat,” katanya pada sidang media pertama mengenai RWMF 2008 di pejabatnya, di sini semalam.
Hadir sama pada sidang media itu ialah pengerusi penganjur festival, Benedict Jimbau. Gracie berkata pihaknya telah menerima 450 permohonan daripada kumpulan muzik dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, jelasnya selepas beberapa proses penapisan hanya 14 kumpulan muzik dipilih, antaranya ialah dari Portugal, Brazil, Palestin, Colombia, India dan Jepun.
Bagaimanapun, Gracie berkata pihaknya akan mengeluarkan profil terkini kumpulan muzik yang akan membuat persembahan dalam tempoh seminggu dalam laman web STB selepas kumpulan-kumpulan terbabit menandatangani perjanjian masing-masing dengan STB.
“Tiga daripada 14 kumpulan ini adalah dari Malaysia dengan dua dari Sarawak selebihnya dari Kuala Lumpur dan seperti tahun-tahun sebelum ini kumpulan muzik dari Sarawak akan membuka tirai persembahan sepanjang tiga hari festival,” jelas Gracie.
Festival yang dianjurkan setiap tahun itu serta mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak akan berlangsung di Kampung Budaya Sarawak dari 11 hingga 13 Julai 2008.
Gracie menambah, pihaknya mensasar dapat menarik kira-kira 25,000 penonton dari luar dan dalam negeri selepas 22,000 orang datang sepanjang tiga hari berlangsungnya festival tahun lepas.
“Enam puluh peratus daripada jumlah penonton yang datang tahun lepas adalah dari luar Sarawak dan kita menjangka jumlah ini akan meningkat kerana banyak penambahbaikan dibuat.
“Bagi memastikan keselesaan penonton STB menyediakan ruang menonton persembahan yang lebih luas berbanding sebelum ini, selain dua pentas baru dibina dan direka bentuk semula.
“Kita juga menyediakan bilik penginapan mewah bagi menjamin keselesaan pelanggan dari kumpulan korporat.
“Bagi mengelak masalah kesesakan lalu lintas ke Kampung Budaya Sarawak, perkhidmatan bas catar turut ditawarkan,” katanya.
Menurut Gracie, setakat ini sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan malahan beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa bilik-bilik hotel bertaraf empat bintang dan ke atas di bandar raya Kuching termasuk kawasan berdekatan tapak festival sudah habis ditempah.
Beliau menambah, kali ini seramai 200 wakil media antarabangsa dan 50 lagi media tempatan akan berkampung selama tiga hari semasa festival berlangsung.
Orang ramai yang mahu mengunjungi festival ini boleh mendapatkan tiket masuk dengan melayari www.TicketCharge.com.my yang dibuka untuk tempahan sejak 12 Disember 2007.
“Orang dewasa perlu membayar RM90 untuk mendapatkan pas masuk sehari dan RM250 untuk pas tiga hari manakala bagi kanak-kanak (antara tiga hingga 12 tahun) tiket dijual pada harga RM45 untuk sehari dan RM100 bagi tiga hari,” jelasnya.
Selain itu, sempena RWMF, The Rainforest World Crafs Bazaar 2008 (9-15 Julai 2008) dan Folk Art Forum 2008 (10 Julai 2008) akan diadakan.
1fafBahasa Malaysia - Mar 26, 2008 10:00 - 0 Comments
Ringankan beban rakyat
More In Bahasa Malaysia
- Polis siasat bomoh ???diculik???
- Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia 2008 tampilkan kelainan
- Jangan sampai terlepas peluang SCORE
- Kekal khazanah hutan
- SUPP nafi ketepi Bidayuh

Leave a Reply