4Dpredict.com -  Free live result for TOTO, Magnum 4D, DAMACAI, Sweep, Singapore TOTO, Singapore 4D and many more

Terengganu peruntuk RM2.20bilion bagi bajet 2014

| 10/12/2013 | 0 Comments
Email This Post Email This Post   Print This Post Print This Post  
1 Star2 Stars3 Stars4tars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading...Loading...

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu semalam membentangkan Bajet 2014 berjumlah RM2.20 bilion dengan RM1.208 bilion daripada jumlah itu untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya sebagai perbelanjaan mengurus.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil meningkat 9.73 peratus kepada RM2.20 bilion pada tahun 2014 berbanding RM2.005 bilion pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM195 juta.

“Daripada anggaran hasil itu, 89.95 peratus diunjur diperoleh daripada sumber kerajaan pusat khususnya Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan pemberian tahunan dan baki 10.05 peratus daripada sumber negeri sendiri,” katanya semasa membentangkan Bajet Terengganu 2014 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Menurut Ahmad, di bawah bajet kali ini, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada empat strategi teras iaitu mengurangkan defisit, pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM41.5 juta untuk meneruskan Program Bantuan Rumah khusus kepada golongan miskin untuk membina rumah baharu dan membaik pulih rumah yang sudah terlalu uzur pada tahun depan.

“Bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat miskin, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan mangsa bencana alam, sebanyak RM49.72 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu.

“Aspek kesihatan, terutama untuk golongan miskin yang menghidap penyakit kronik juga tidak diabaikan supaya mereka juga menerima rawatan dengan teknologi perubatan canggih melalui Tabung Pesakit Kronik dengan dana sebanyak RM10 juta disediakan,” katanya.

Menyedari betapa pentingnya pembangunan modal insan, Ahmad berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM59.19 juta bagi pembangunan pendidikan dalam memastikan akses dan kualiti yang menjadi kecemerlangan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu diteruskan.

“Bagi memperkasakan program pintar al-Quran dan kelas Fardu Ain, sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan agar kanak-kanak seawal usia tujuh hingga 12 tahun dapat mendalami al-Quran kerana kita mahu mereka khatam al-Quran sebelum masuk ke sekolah menengah.

“RM3.2 juta pula diperuntukkan bagi menambah kelas-kelas maya kerana sekolah yang dilengkapi kemudahan canggih ini terbukti mencatat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Program e-Book juga akan diteruskan pada tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta kerana ia terbukti berjaya di mana seramai 3,039 murid berjaya memperolehi 5A pada tahun ini iaitu peningkatan 14 peratus berbanding 13.22 peratus pada tahun 2012.

Bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam, sebanyak RM331.14 juta diperuntukkan bagi pembinaan jalan-jalan baharu dan projek-projek sambungan.

Ahmad berkata sebanyak RM12.4 juta pula diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dan menyelenggara sistem pengairan dan saliran termasuk projek memulih dan membenteng Sungai Terengganu, sistem saliran di Gong Pasir, Dungun; Sungai Buaya dan Padang Lebam di Marang.

“Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM37 juta bagi menjayakan program kebersihan dan keindahan dalam bandar dan RM6 juta untuk landskap pada tahun 2014,” katanya.

Golongan belia juga tidak diabaikan, dengan RM28.95 juta diperuntukkan bagi memperkasakan pembangunan mereka dan sebanyak RM25.94 juta untuk pembangunan sukan, katanya. — Bernama

Category: Berita Nasional, Sarawak

Car2u.asia