Dua garis panduan untuk PBT sediakan akses kepada OKU

| 10/12/2013 | 0 Comments
Email This Post Email This Post   Print This Post Print This Post  
1 Star2 Stars3 Stars4tars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading...Loading...

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengeluarkan dua garis panduan yang boleh diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan penyediaan kemudahan akses untuk orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Halimah Mohd Sadique berkata garis panduan itu bagi memudahkan pelaksanaan keperluan penyediaan kemudahan itu berdasarkan Seksyen 34A, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

“Mengikut undang-undang kecil itu, pemaju yang mengemukakan pelan pembangunan untuk mendapat kelulusan PBT diwajibkan menyediakan kemudahan akses OKU dalam semua kategori bangunan awam dan komersial.

“Oleh itu, kementerian mengeluarkan dua garis panduan untuk PBT iaitu Garis Panduan Perancangan Reka Bentuk Sejagat dan Garis Panduan Kehendak Bangunan Untuk OKU,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk V. Subramaniam pada persidangan Dewan Negara semalam.

Subramaniam meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan semua bangunan menyediakan akses untuk golongan OKU.

Halimah memberitahu bahawa kementerian turut mengeluarkan arahan kepada PBT bagi melaksanakan audit akses secara berkala ke atas bangunan dan kemudahan awam.

“Ini untuk menilai keperluan kemudahan OKU, kemudahan sedia ada dibina mematuhi piawaian, dan tindakan atau peningkatan alternatif yang boleh dilaksanakan pemilik bangunan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata kementerian turut membantu PBT untuk menambah baik kemudahan sedia ada kepada mesra OKU dengan menyalurkan kewangan kepada pihak berkenaan.

“Jumlah peruntukan yang disalurkan kepada PBT sejak tahun 2010 hingga 2013 adalah sebanyak RM6.14 juta,” katanya.

Halimah berkata kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri dan PBT akan meningkatkan penguatkuasaan selain mengadakan kempen kesedaran secara berterusan kepada orang ramai serta para profesional bagi memastikan persekitaran alam bina bangunan dan kemudahan awam yang disediakan mesra OKU. — Bernama

Category: Berita Nasional, Sarawak

Car2u.asia