Home / Berita Nasional / Dasar keselamatan tangani ancaman siber digubal

Dasar keselamatan tangani ancaman siber digubal

Fokus penggunaan selamat, guna teknologi tempatan

KUALA LUMPUR: Melihat ancaman siber sebagai ancaman tahap paling tinggi negara, kerajaan menggubal Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) bagi melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata dasar ini memfokus kepada penggunaan teknologi yang selamat ke arah penggunaan dan pengeluaran teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

“Dasar ini turut menekankan aspek pembangunan keupayaan dalam bidang keselamatan siber, penyelidikan dan pembangunan serta inisiatif kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman siber.

“Bagi menghadapi ancaman ini, kerajaan akan sentiasa meningkatkan tahap keselamatan sistem komunikasi selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Khalid Ahmad dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

Mohd Khalid meminta kerajaan menyatakan langkah mengatasi masalah intipan seperti penggunaan teknologi canggih.

Shahidan berkata di bawah NCSP, beberapa inisiatif dilaksana seperti Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat, yang menetapkan pendekatan sistematik termasuk polisi, prosedur serta fungsi perkakasan dan perisian.

Turut dilaksana, katanya, adalah pembangunan rangka kerja dan rangka dasar perlindungan ketirisan maklumat elektronik yang menetapkan kaedah pengurusan maklumat elektronik kerajaan serta organisasi negara.

Beliau berkata di bawah NCSP juga, turut digubal Dasar Kriptografi Negara yang menggariskan kaedah dan pendekatan strategik dalam aspek penggunaan kriptografi, penghasilan Produk Kriptografi serta penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi maklumat kerajaan dan agensi. — Bernama