Home / Berita Nasional / Cadangan bantuan baucar tilam kepada mangsa banjir

Cadangan bantuan baucar tilam kepada mangsa banjir

MARAN: Anggota Exco kerajaan negeri Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin semalam mencadangkan kerajaan pusat supaya memberikan baucar tilam kepada mereka yang ditimpa musibah banjir.

Beliau berkata banjir di Pahang sejak Isnin lepas yang mencatatkan jumlah pemindahan melebihi 40,000 orang itu, telah menyebabkan mangsa terbabit mengalami kerugian harta benda yang amat besar.

“Ketika ini, kebanyakan kawasan rumah mereka yang terbabit mulai surut, harta benda banyak yang rosak, saya mohon kerajaan pusat pertimbangkan bantuan baucar tilam, sekurang-kurangnya mangsa banjir dapat keperluan asas itu selepas membersihkan kediaman masing-masing,” katanya di sini semalam.

Beliau turut meminta badan-badan amal, badan-badan bukan kerajaan dan swasta menghulurkan bantuan bukan sahaja di pusat pemindahan tetapi ke rumah-rumah mangsa banjir.

“Selain barang makanan, keperluan tilam juga amat diperlukan untuk keselesaan mangsa banjir yang kembali ke kediaman mereka,” kata-nya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan bantuan kewangan RM500 diberikan kepada setiap keluarga yang terlibat dengan musibah banjir.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut menya-rankan supaya semua bank di negara ini untuk membenarkan mangsa banjir menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman mereka. — Bernama