30 pasangan daftar perkahwinan sempena tarikh 11.12.13

| 12/12/2013 | 0 Comments
Email This Post Email This Post   Print This Post Print This Post  
1 Star2 Stars3 Stars4tars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading...Loading...

BERTUAH: Tujuh daripada 30 pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka sempena tarikh 11.12.13 bergambar bersama di JPNWPKL di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Tanggal 11 Dis 2013 atau 11.12.13 semalam menjadi pilihan kebanyakan pasangan di negara ini untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

Malah, ada antara mereka membuat tempahan tarikh itu sejak 15 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan (JPNWPKL) Kuala Lumpur Norehan Abdullah memberitahu sidang media di sini, 30 pasangan memilih untuk mendaftarkan perkahwinan mereka pada tarikh istimewa itu.

Enam daripada 30 pasangan itu adalah dari Putrajaya dan Selangor.

Tinjauan Bernama di pejabat JPNWPKL Jalan Duta sesak dengan pasangan berkenaan yang siap berpakaian pengantin mengikut budaya mereka dan diiringi anggota keluarga masing-masing sejak jam 8 pagi lagi.

Mekanik kereta S.Navindren, 30, dan pasangannya S.Kasthury, 30, berkata beliau memilih tarikh itu kerana ia satu tarikh yang unik.

“Kami memang menunggu tarikh yang unik seperti ini untuk mendaftarkan perkahwinan kami,” katanya.

Bagi K.Krisha, 26, beliau dan pasangan memilih tarikh ini kerana nombornya yang cantik dan senang diingati.

“Tarikh macam ini hanya datang 100 tahun sekali, sebab itu saya mahu berkahwin pada hari ini (semalam),” katanya.

Ahli perniagaan Chua Kwee Lim, 35, pula berkata tujuan beliau memilih semalam kerana mahukan tarikh yang istimewa untuk satu acara yang istimewa bagi dirinya dan pasangannya Yap Mong Theng, 23, yang juga pegawai bank.

Pendaftaran perkahwinan pasangan itu dilakukan Pembantu Pendaftaran Kanan JPNWPKL Ramani Iyapillai.

Selain di JPNWPKL, banyak juga pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat JPN di sekitar Kuala Lumpur termasuk dua pasangan di JPN Wangsa Maju, JPN UTC Pudu (11 pasangan) dan JPN Taman Maluri (enam pasangan).

Sebelum ini, tarikh 10.10.10 (10 Okt 2010), 11.11.11 (11 Nov 2011) dan 12.12.12 (12 Dis 2012) menjadi pilihan pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga. — Bernama

Category: Berita Nasional, Sarawak

Car2u.asia