Parti politik perlu berhati-hati semasa berkempen
KOTA KINABALU: Para pemimpin parti politik dinasihatkan agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang percakapan semasa berkempen pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihak berkenaan dilarang membuat kenyataan yang boleh menimbulkan sentimen dan membangkitkan kemarahan melampau.
Menurutnya, percakapan atau kenyataan yang berbaur sentimen berkemungkinan akan menyebabkan berlakunya pergaduhan.
“Apa yang penting, semua pihak perlu bersama-sama bertanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dalam PRU.
“Gunakanlah fikiran secara mendalam sebelum mengeluarkan sebarang percakapan semasa berkempen agar PRU dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena taklimat bagi persiapan PRU-13 Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini kelmarin.
Pihaknya yakin perjalanan PRU akan datang berlangsung dengan baik tanpa ada suasana huru-hara yang ditimbulkan oleh mana-mana parti politik.
Katanya, buat pertama kalinya pada PRU-13 ini, tidak ada khemah didirikan sebagaimana PRU sebelum ini.
“Ini bermakna kita tidak menggalakkan para penyokong parti datang beramai-ramai semasa penamaan calon.
“Para pemimpin parti dinasihatkan untuk tidak membawa penyokong yang ramai kerana ini juga akan membuang masa, wang dan menyusahkan polis untuk kawal keadaan.
“Kalau terlalu ramai juga boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan dan ini tidak sepatutnya berlaku semasa PRU dijalankan,” katanya.
Abdul Aziz turut memberitahu orang ramai kini boleh melayari portal untuk PRU-13 di alamat www.pru13.gov.my.
Menurutnya, semua perkara berkaitan PRU ada disediakan di dalam portal berkenaan termasuklah undang-undang, kod etika dan juga borang.
Category: Berita Sabah, Sarawak







