Tarian M’sia, Indonesia ‘memukau’ para penonton
INGIN CUBA: Seorang pelancong asing cuba mengikut rentak tari penari dari Indonesia di Godown Amphitheatre di Tebingan Kuching semalam.
KUCHING: Persembahan tarian tradisional Malaysia dan Indonesia yang diadakan di Godown Amphitheatre di Tebingan Kuching semalam ternyata ‘memukau’ pelancongan asing serta penduduk tempatan.
Gabungan persembahan tradisional itu merupakan tarian tradisional suku kaum di Sarawak dan Lombok-Sasambo (Sasak-Sumbawa-Mjobo) menggambarkan keunikan serta kekayaan budaya di kedua-dua wilayah ini.
Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip menyambut delegasi Indonesia itu bersama pelancong-pelancong yang hadir menyaksikan persembahan itu, berkata Sarawak juga mempunyai banyak keunikan budaya untuk diketengahkan.
Menurutnya Sarawak menawarkan perkhidmatan penginapan yang murah, membolehkan pelancong membelanjakan wang untuk menikmati kehebatan produk pelancongan tempatan dan pada masa sama menikmati keramahan penduduk tempatan.
Hadir sama pegawai daripada pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching Gondosoemarto Wibisono, Pengarah Pelancongan Malaysia Negeri Sarawak Salahuddin Mohd Ariffin dan Pengarah GoTravel Holiday Sdn Bhd Abdul Malik Morshidi.
Pelbagai tarian tradisional dipersembahkan antaranya Zapin Melayu dari Sarawak diikuti tarian Asih Trasne dari Indonesia, tarian Orang Ulu, tarian Rejang Bueh daripada etnik Bidayuh, Ngajat Induk (Iban) dan Alu Alu Melanau (Melanau).
Sementara itu, kumpulan dari Indonesia mempersembahan tarian Rudat, Beriuk Tinjal, Puspersti dan Gandrung.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






