S’wak antara negeri terbanyak kawasan kemalangan musim perayaan
OPERASI MUSIM PERAYAAN: Salleh mengedar cenderamata dan risalah keselamatan jalan raya kepada orang awam di Batu 19, Jalan Kuching-Serian dekat Siburan semalam sempena Ops Selamat II. — Gambar Jeffery Mostapha
SIBURAN: Sarawak dikenal pasti antara empat negeri yang mencatatkan kawasan kerap kemalangan terbanyak selain Selangor, Johor dan Perak pada musim perayaan.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, sebanyak 68 lokasi tumpuan kemalangan dikenal pasti di negeri ini melibatkan jalan persekutuan dan jalan negeri.
Justeru, katanya, bagi mengurangkan kadar kemalangan pada musim perayaan, Ops Selamat II Tahun 2013 dilancarkan dari 3 hingga 17 Februari yang memfokuskan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan memberi nasihat kepada pengguna.
“Ops Selamat yang pertama dilancarkan pada musim perayaan lepas terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kematian.
“Sejak pelancarannya pada 3 Februari lalu, sehingga semalam (7 Februari), Ops Selamat II menampakkan perkembangan yang positif dan saya yakin ia akan mencapai matlamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Ops Selamat Tahun Baharu Cina dan penyerahan cenderamata kepada pengguna jalan raya di Batu 19, Jalan Kuching-Serian dekat sini, semalam.
Salleh berkata, selain penguatkuasaan undang-undang jalan raya, operasi itu juga memberi fokus kepada Kempen Rumah Selamat iaitu memastikan keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan di sepanjang tempoh perayaan ini.
Menurut beliau, konsep rumah selamat dan pencegahan kemalangan jalan raya ini bukan sahaja ditekankan kepada pengguna jalan raya, tetapi juga kepada masyarakat yang hendak pulang bercuti di kampung.
Kaedah pelaksanaan operasi ini ialah secara rondaan dan statik di jalan raya iaitu dengan cara menempatkan khemah dan bergerak ke lokasi-lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan maut, jelasnya.
Sementara itu, dari segi pencegahan jenayah iaitu kejadian pecah rumah, pihak polis akan mengarahkan anggota untuk membuat rondaan dan lawatan ke lokasi-lokasi yang telah dimaklumkan kepada pihak polis, katanya.
Dalam pada itu, seramai kira-kira 700 pegawai dan anggota polis kontinjen Sarawak terlibat dalam Ops Selamat II bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan rumah ditinggalkan selamat di seluruh negeri.
Terdahulu, Salleh menghadiri taklimat Ops Selamat Tahun Baharu Cina 2013 di bilik mesyuarat Balai Polis Siburan disusuli dengan ‘walk about’ di Pekan Siburan untuk berjumpa dan beramah mesra dengan komuniti di pekan berkenaan.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






