Pantau anak, elak terjebak perjudian mesin judi: Polis
BINTULU: Ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan kegiatan perjudian mesin judi di sini.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata, ibu bapa juga harus memikul tanggungjawab tersebut selain pihak sekolah.
“Sudah tentu kami juga memainkan peranan dengan mengambil tindakan terhadap premis-premis judi tanpa lesen di sini,” ujarnya menjawab soalan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu yang mengadakan sesi dialog dengan beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu semalam.
Begitupun, katanya, pihak polis memohon ibu bapa dan pihak sekolah agar memantau secara berterusan pergerakan anak-anak supaya usaha membanteras kegiatan judi yang melibatkan generasi yang masih terlalu muda di sini tidak sia-sia.
“Anak-anak terlibat dengan kegiatan judi di mesin judi, ini memang diakui. Dan, kami memang ada mengambil tindakan. Bahkan ada premis yang ada lesen kami juga mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata, tahun ini sahaja pihaknya telah menyerbu lebih 10 premis judi di Bintulu dan merampas lebih 100 mesin judi untuk siasatan.
Mengenai permohonan untuk membina pondok polis di sesuatu kawasan, katanya, ia bergantung kepada jumlah penduduk dan pembangunan ekonomi di kawasan itu.
Menjawab mengenai kes kecurian kenderaan di kawasan rumah panjang yang jauh dari bandar Bintulu, beliau menasihati agar pemilik kenderaan memasang kunci tambahan pada kenderaan mereka memandangkan liputan tugas rondaan polis Bintulu terhad di samping kekurangan anggota.
Manakala, soalan mengenai mogok pekerja di Samalaju pula, katanya, ia melibatkan masalah dalaman syarikat yang terlibat, namun pihaknya berharap masalah itu tidak akan berlaku lagi.
Soalan-soalan lain yang turut dikemukakan ialah kes kecurian di empangan Kelalong, kes penutup besi parit, kes siasatan terhadap suspek curi kereta dan penempatan anggota polis trafik di kawasan sekolah bagi membantu mengatasi masalah kesesakan.
Dalam pada itu, Madang beliau menafikan dakwaan bahawa pihak polis tidak menerima apa jua laporan polis yang dibuat oleh orang ramai.
“Kami tiada halangan, siapa sahaja boleh membuat laporan polis. Kalau ada anggota yang tidak menerima laporan yang dibuat oleh orang ramai, saya minta beri tahu pada saya segera,” katanya sambil meminta agar menghubunginya menerusi talian 019-5806800.
Sesi dialog itu turut dihadiri oleh Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu, Henry Ling Kuong Meng; Ketua Jabatan Siasaan Jenayah, ASP Awang Zamain Awang Jabai; Ketua Cawangan Khas ASP Ghaisah Putang; Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Bintulu, ASP Jame Reis dan pegawai-pegawai kanan polis.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






