61,691 terima BR1M 2.0 di Kuching
BANTUAN TIBA: Abdul Rahman menunjukkan baucar BR1M 2.0 pada sidang media, semalam. — Gambar Chimon Upon
KUCHING: Seramai 61,691 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 di Bahagian Kuching akan memperolehi baucar tunai masing-masing dari 4 hingga 17 Februari ini.
Residen Kuching Abdul Rahman Sebli Senusi berkata, semua penerima yang dimaklumkan melalui pos diharap telah menerima surat berkenaan dan hadir ke lokasi majlis pengagihan seperti yang ditetapkan.
Peringkat pertama agihan di Bandar Kuching pada 4 dan 5 Februari melibatkan 10,879 penerima di Stadium MBKS, Jalan Pending.
Parlimen Stampin pula dijadualkan dari 6 hingga 8 Februari dengan jumlah penerima seramai 15,597 juga di Stadium MBKS, manakala dari 8 hingga 16 Februari bagi Parlimen Petra Jaya melibatkan 16,779 penerima di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.
Bagi Parlimen Santubong dari 7 hingga 17 Februari, 10,625 penerima akan menerima baucar masing-masing di Dewan Masyarakat Lundu dan DUN lama, Petra Jaya.
Bagi Parlimen Mas Gading yang mempunyai 7,710 penerima, lokasi majlis pengagihan pada 17 Februari akan dimaklumkan kemudian.
“Untuk memeriksa maklumat terperinci, orang ramai boleh menghubungi talian ‘hotline’ Pejabat Residen 082-246991 pada waktu pejabat untuk menyemak kedudukan permohonan mereka.
“Untuk tujuan ini, pejabat kami juga beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad sepanjang Februari kecuali pada 11 dan 12 Februari kerana cuti Tahun Baharu Cina,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Penerima BR1M juga boleh mendapatkan maklumat di pejabat-pejabat kawasan Parlimen masing-masing, jelasnya.
“Perlu diingatkan, semua penerima perlu datang sendiri dengan membawa kad pengenalan untuk mengambil baucar. Wakil tidak akan dibenarkan.
“Penerima juga boleh menunaikan terus barcar tersebut dengan pihak bank yang akan turut ditempatkan di sana,” katanya.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






