45 pemain dikenal pasti untuk skuad futsal Sarawak
KUCHING: Seramai 45 orang pemain futsal berpotensi telah dikenal pasti sepanjang sesi pemilihan yang diadakan di enam lokasi seluruh negeri.
Dari jumlah tersebut, seramai 38 orang adalah pemain lelaki manakala selebihnya adalah wanita.
Ketua jurulatih futsal Sarawak, Mohamad Mantali berkata sesi pemilihan tersebut diadakan bagi mencari pemain baharu untuk mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 yang akan diadakan dari 28 Jun hingga 7 Julai 2013 di Kuala Lumpur.
“Setakat ini, kita telah selesai menjalani pemilihan pemain di Kuching, Lawas, Mukah, Sibu, Dalat dan Kanowit, “ katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) semalam.
Menurut Mohamad, skuad futsal Sarawak mengekalkan empat pemain lelaki yang pernah bermain pada Sukma 2011 dan berjaya merangkul pingat gangsa.
Malah, katanya, beberapa pemain wanita yang beraksi pada edisi lalu dan masih layak bermain pada tahun ini juga akan dikekalkan.
Menurut Mohamad, lokasi seterusnya adalah di Kapit (11-12 Januari 2013), Sarikei (13-14 Januari), Bintulu (19-20 Januari), Sri Aman (25-26 Januari) dan Betong (27-28 Januari).
“Kita bercadang untuk mengadakan perlawanan ujian dengan beberapa pasukan di Selangor sebaik pemilihan selesai dijalankan,” katanya.






