Kajian had tempoh kepimpinan persatuan sukan perlu dibuat
PAPAR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta kajian menyeluruh dibuat berhubung jangka masa kepimpinan persatuan sukan dihadkan kepada sesuatu tempoh tertentu bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemajuan sukan negara.
Sambil menerima baik cadangan itu, Ahmad Shabery berkata persetujuan semua pihak juga harus diambil kira demi manfaat persatuanpersatuan sukan di seluruh negara untuk tempoh jangka panjang.
“Kajian terperinci dan persetujuan pihak terbabit perlu diambil kira menerusi pewujudan pelan berkonsepkan meremajakan persatuan sukan agar pelaksanaannya member impak positif tidak hanya kepada atlet malah untuk masa depan pembangunan sukan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa sudah sampai masanya supaya peraturan untuk setiap pemegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan dihadkan tempoh hanya kepada lapan tahun bagi memastikan pembangunan dan kemajuan sukan negara tidak terbantut.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong dipetik sebagai mengulas mengenai desakan peminat bola sepak negara yang mahu Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah meletak jawatan selepas didakwa gagal meningkatkan sukan nombor satu negara itu sejak menerajui badan induk berkenaan 28 tahun lalu.
Terdahulu, Ahmad Shabery menghadiri majlis makan malam sempena program Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia di Restoran Makanan Laut Beringis, di sini, malam Sabtu lalu.
Karnival selama tiga hari itu anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Sabah dan Astro yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Anggota Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan memperuntuk lebih RM4 juta dalam usaha membangunkan pelbagai program belia di negeri ini pada tahun lalu. — Bernama






