Perginya soldadu terulung
Kanang meninggal dunia di HUS awal pagi semalam
PERGI BUAT SELAMANYA: Mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau. — Gambar Bernama
KUCHING: Pahlawan negara yang masyhur dengan moto perjuangan ‘Agi Idup, Agi Ngelaban,’ Temenggung Datuk Kanang Langkau, 68, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Umum Sarawak (HUS), awal pagi semalam.
Mendiang yang merupakan Pegawai Waran 1 (B) menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.
45 pagi semalam selepas dikejarkan ke HUS setelah pengsan di kediamannya di Sungai Apong di sini pada kira-kira jam 1 pagi.
Menurut balunya, Datin Brawang Changgot, 55, mendiang mengadu sakit dada pada malam kelmarin ketika sedang menonton Berita Nasional di TV1 sekitar jam 12.30 tengah malam.
“Pada malam itu (kelmarin), dia (mendiang) sedang menonton berita sebelum mengalami batuk biasa, tapi mukanya sedikit pucat.
“Sebaik itu, dia memanggil saya untuk minta diurut, namun saya tidak dapat mengurut dia kerana tangan saya terseliuh,” kata Brawang ketika ditemui di rumah mayat HUS di sini, semalam.
Sementara itu, Langgi Kanang, 31, anak bongsu mendiang hasil perkahwinan pertamanya dengan mendiang Helen Latai Inie, dia dimaklumkan mengenai berita kematian ayahnya pada kira-kira jam 6 pagi.
“Berita ini amat mengejutkan kami sekeluarga sebaik sahaja dimaklumkan mendiang sudah tiada,” katanya sambil menambah Hari Gawai tahun lalu merupakan perayaan terakhir dia bersama bapanya.
Mendiang Kanang dilahirkan di Rumah Karangan Manuk Julau sebelum rumah panjang berkenaan dibina baharu dan diberi nama Rumah Engkulau Wong Besi Api, Julau.
Hasil perkahwinan pertamanya bersama Helen, mendiang dikurniakan enam orang anak dan lapan cucu.
Manakala, menurut anak angkatnya dari Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Shima, mendiang merupakan seorang bapa yang baik dan mengambil berat tentang keluarganya.
“Sedih apabila mendengar berita ini, beliau baharu sahaja menelefon saya dua hari lepas tapi saya tidak sempat berjumpa ayah… dia kata nak jumpa saya, tapi saya tidak sempat nak jumpa beliau,” katanya yang tiba di Sarawak sekitar jam 11.30 pagi semalam sebelum bergegas ke HUS.
Dilahirkan di Julau, mendiang menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban (‘Iban Trackers’) pada 21 April 1962 sebelum diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.
Mendiang bersara dari perkhidmatan pada tahun 1986 selepas 21 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Waran 1.
Mendiang terkenal dengan keberaniannya ketika memimpin Platun Perisikan Pertempuran Unit Renjer Diraja Batalion Ke-8 menjejaki komunis di Tanah Hitam, Perak mulai 8 Februari 1980 selama 11 hari.
Bagaimanapun, pada 19 Februari 1980, pasukan pimpinan mendiang tersilap langkah apabila memasuki kawasan musuh menyebabkan mereka diserang teruk.
Akibat serangan itu, mendiang mengalami kecederaan parah dan hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantungnya, merosakkan satu buah pinggangnya, usus perutnya terburai dan terlantar di hospital selama 14 bulan.
Keberanian mendiang menentang komunis mendapat pengiktirafan kerajaan apabila dianugerahkan pingat-pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981.
Pada 24 September 2011, beliau menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak ‘Panglima Gemilang Bintang Kenyalang’ (PGBK) yang membawa gelaran Datuk.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






