PBBS kerjasama dengan SBA bangunkan badminton
KUCHING: Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak (PBBS) akan terus bekerjasama dengan Persatuan Badminton Sarawak (SBA) menerusi program pembangunan sukan yang dijalankan dari semasa ke semasa.
Ketua jurulatih PBBS Zamhari Eddie berkata kerjasama itu penting bagi melahirkan lebih ramai pemain tempatan berbakat yang dapat mewakili negeri dan negara.
Zamhari yang juga jurulatih skuad bawah 21 tahun dan johan lima kali Terbuka Sarawak memberitahu program cetusan idea Presiden SBA Tan Sri Datuk Aziz Hussien itu banyak tertumpu kepada penganjuran pertandingan antara kelab di mana peserta yang berpotensi yang diserap masuk dalam program SBA.
“Melalui penganjuran kejohanan seperti Piala Presiden dan Terbuka Bumiputra setiap tahun, kita dapat melahirkan ramai pemain berbakat seperti Hardiyandy dan Abdul Rahman,” jelas Zamhari yang ditemui semasa Kejohanan Badminton Piala Datuk Azman Samaon baru-baru ini.
Hardiyandy mewakili Sarawak di Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun lepas manakala Abdul Rahman adalah juara 10 kali negeri dan pemain kebangsaan.
Sementara itu, Setiausaha SBA Abdul Hadi Abdul Kadir menjelaskan bermula pada tahun ini gaji jurulatih negeri akan dibayar oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Melalui pelaksanaan skim pembayaran gaji baharu tersebut, kita dapat merekrut lebih ramai jurulatih dan ia dapat memantapkan lagi program Pusat Latihan Elit SBA.
“Selain itu, dana yang diperolehi membolehkan kita mengambil bahagian dalam kejohanan di peringkat kebangsaan seperti Terbuka Kedah, Selangor dan Perak,” jelas Hadi yang juga timbalan presiden PBBS.
Katanya jurulatih yang dibayar oleh BAM turut ditugaskan untuk melatih pemain di semua bahagian daerah.
Jurulatih SBA ketika ini adalah Dwi Aryanto dan Rukita dari Indonesia.






