24 pemain remaja sertai kem latihan pingpong
KUCHING: Seramai 24 orang pemain pingpong remaja telah menamatkan kem latihan bertempat di pusat latihan Tai-Chi di Jalan Laksamana Cheng Ho dari 28 Disember hingga 1 Januari lepas.
Dianjurkan oleh Persatuan Ping Pong Bahagian Kuching (KDTTA), kem tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berusia dari lapan hingga 18 tahun yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Pingpong Kuching Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) pada bulan ini.
Kem selama lima hari tersebut dikendalikan oleh ketua jurulatih Chua Chiaw Lian, Pengerusi KDTTA Helena Wee, Chai Kian Peng dan Liu Guan Qun dari China.
Helena berkata, kem tersebut antara lain bertujuan membina keyakinan diri peserta dan memastikan mereka mengekalkan prestasi serta disiplin sebelum menghadapi kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sesi tersebut bukanlah pentas untuk memilih peserta yang akan mengambil bahagian di Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuala Lumpur.
“Kita tidak dapat berbuat apa-apa ketika ini kerana belum menerima sebarang maklum balas dari Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) sama ada akan menghantar penyertaan dalam acara tersebut,” jelas Helena yang juga timbalan ketua kontinjen skuad pingpong semasa Sukma 2011.
“Jika MSNS memberi lampu hijau, exco KDTTA akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memulakan sesi pemilihan peserta.”
Menurut sumber, MSNS akan mengadakan mesyuarat pada 15 Januari ini bagi menentukan acara yang akan disertai di SUKMA nanti.
Helena menambah kem tersebut diadakan dalam bentuk pertandingan di mana kesemua peserta dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu merah, biru, kuning dan hijau.
Latihan diadakan dalam dua sesi iaitu 8.30 pagi hingga 11 pagi dan 4 petang hingga 7 malam.
Pasukan kuning yang diwakili oleh Jason Siaw, Clement Sim, Gabriel Ling, Joel Chen, Yap Xian Ming dan Joan Chung muncul johan dan menerima RM200.
Tempat kedua dimenangi oleh pasukan merah yang diwakili oleh Rayford Kho, Andrea Tan, Chai Kiang Ann, Louis Chung, Ho Zhong Chun dan Benjamin Thian. Mereka menerima RM150.
Kueh Wan May, Ting Yiing Hii, Alice Chang, Tay Lynn Jia, Tay Lyn Xuan dan Elicia Tsai yang mewakili pasukan hijau menduduki tempat ketiga dan meraih RM60.
Manakala pasukan biru yang diwakili Jong Ngu Suai, Derrick Tsai, Kylie Teo, Too Ying Chuen, Allan Teo dan Darren Siaw di tempat terakhir.






