Francis sedia lepaskan jawatan pengarah MSNS
KUCHING: Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Francis Nyurang Ding menjelaskan tiada sebarang masalah timbul antara beliau dan bekas Timbalan Pengarah MSNS, Frederick Tan.
Malah, katanya, beliau bersedia untuk melepaskan jawatan tersebut (pengarah) kepada Frederick sebaik sahaja kontraknya tamat pada Mei tahun depan.
Ketika dihubungi oleh Utusan Borneo di sini semalam, Francis berkata beliau terkejut dengan keputusan tergesa-gesa Frederick meninggalkan MSNS.
“Hubungan saya dengan Frederick adalah baik dan kami tiada masalah untuk bekerjasama dalam semua hal. Apapun, keputusan yang beliau ambil adalah pilihannya sendiri dan kita terpaksa terima,” katanya.
Francis berkata, jawatan timbalan pengarah diwujudkan dalam MSNS bagi memberi peluang kepada Frederick mempelajari tugas-tugas pengarah yang akan dipikulnya kelak.
Laporan akhbar sebelum ini menyebut, Frederick mendapat tawaran lumayan untuk kembali menerajui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) setelah bersama dengan MSNS awal tahun ini.
Sementara itu, Francis turut menegaskan bahawa beliau tidak akan menyambungkan kontrak dengan alasan mahu berehat.
Menurutnya, sudah dua kali beliau melanjutkan kontrak demi untuk membantu MSNS.
“Biarpun pencen, saya tetap akan membantu MSNS ‘dari belakang’,” katanya memberi jaminan.
“Saya juga yakin apabila Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) beroperasi sepenuhnya kelak, mutu sukan kita akan terus meningkat.
“Namun, ia menuntut kerjasama erat antara semua pihak bagi merealisasi impian itu, “ katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Francis berkata: “Sarawak mungkin terpaksa menghadkan penyertaan mereka di Sukan Malaysia (SUKMA) edisi XVI yang akan berlangsung pada 28 Jun hingga 7 Julai 2013 di Kuala Lumpur”.
Ini memandangkan sebilangan besar sukan yang dipertandingkan nanti terlalu baharu untuk Sarawak.
“Kita terpaksa menghadkan penyertaan memandangkan persiapan kontinjen negeri agak lewat dan banyak sukan baharu dipertandingkan. Fokus kita kini terhadap sukan yang mungkin boleh menghadiahkan pingat seperti ping pong, futsal, kriket dan bola tampar.
“Pihak MSNS akan mengadakan mesyuarat pada 15 Januari 2013 bagi mengenal pasti sukan yang akan disertai pada SUKMA Kuala Lumpur nanti,” katanya.






