Beberapa atlet wushu berbakat dikenal pasti
KUCHING: Beberapa orang atlet wushu berbakat telah dikenal pasti dari Kejohanan Wushu Sarawak ke-22 yang melabuh tirainya di Dewan Persatuan Komuniti Kenyalang Park, di sini Ahad lalu.
Setiausaha Persekutuan Wushu dan Tarian Naga Sarawak (WFS), James Ting berkata jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dari China, Huang Shaoxiong turut hadir pada kejohanan dua hari itu bagi memantau peserta yang mempamerkan aksi meyakinkan.
“Kita akan menghubungi jurulatih dan ibu bapa atlet terpilih bagi memberi mereka latihan lebih intensif.
“Justeru, saya harap jurulatih dan ibu bapa atlet terbabit memberi sokongan padu dalam melatih mereka untuk berhadapan dengan kejohanan yang lebih besar seperti Kejohanan Wushu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya di sini semalam.
Ting turut menasihati para atlet agar sentiasa berhubung dengan jurulatih masing-masing jika berhadapan dengan sebarang masalah.
“Sarawak adalah kuasa sukan wushu dan program pembangunan di sini adalah yang terkuat di Malaysia.
“Berdasarkan rekod, kita tidak pernah gagal dalam melahirkan atlet untuk skuad kebangsaan dan meraih kejayaan pada Sukan SEA, Sukan Asia, Kejohanan Wushu Remaja Asia dan Kejohanan Wushu Dunia,” tambahnya.
Menurut Ting, bukan mudah untuk mencapai status kuasa sukan wushu tanpa dedikasi dan komitmen yang utuh daripada para jurulatih, ibu bapa dan atlet itu sendiri.
Sementara itu, Ting merakamkan terima kasih kepada MSNS, pihak penaja, pengadil dan pegawai kejohanan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kejohanan itu berjalan dengan lancar dan berjaya.






