Penubuhan Sukarelawan Pemuda BN mengukuhkan lagi jentera BN: Mawan
KUCHING: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan berkata penubuhan Sukarelawan Pemuda Barisan Nasional (BNYV) di negeri ini bertepatan dengan usaha mengukuhkan lagi jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Mawan menambah, walaupun ramai di kalangan mereka (belia) tidak berdaftar sebagai pengundi tetapi mereka berupaya mempengaruhi pengundi daripada kalangan keluarga dan kenalan terdekat.
“Saya berharap kerjasama BNYV dan parti-parti komponen BN akan berterusan kerana saya melihat ramai belia yang berpotensi mewarnai negara kita sejajar dengan slogan Hari Belia Negara 2012, Aspirasi Belia Adalah Aspirasi Kerajaan.
“Dengan bimbingan dan sokongan daripada empat parti komponen BN di Sarawak iaitu PBB, SPDP, SUPP dan PRS bersama BNYV tidak mustahil kita akan mengulangi kemenangan gemilang dua pertiga kerusi dalam PRU akan datang,” katanya selepas Majlis Pelancaran BNYV di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Beliau yang juga presiden SPDP mengucapkan tahniah kepada sukarelawan untuk kejayaan mereka dalam membina kumpulan sokongan yang baik kepada BN.
“Saya harap yang terbaik untuk Pilihan Raya Umum akan datang dan saya yakin bahawa ia akan menjadi satu kejayaan besar juga,” katanya.
Sementara itu, BNYV juga telah dianggap sebagai peluang bagi golongan belia sebagai rangkaian dengan rakan-rakan penyokong BN di seluruh negara, berkongsi pandangan dan membina persahabatan baharu dan bekerja rapat dengan pemimpin BN yang bertanding atau menguruskan kempen.
Pada asasnya, ia adalah satu program sukarelawan di bawah Pemuda BN untuk menyediakan satu platform untuk belia penyokong BN yang berada di luar parti untuk membantu dalam PRU13.
Ia adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia, lelaki dan wanita, antara umur 18 hingga 40 dan tidak semestinya menjadi ahli berdaftar dengan mana-mana parti komponen kecuali mereka mesti penyokong BN.
Terdahulu, pada pelancaran Sarawak BNYV di sini semalam, Ketua Pemuda Negeri Sarawak Datuk Fadillah Yusof berkata penubuhan entiti di sini akan menggalakkan lebih ramai belia untuk menyertai politik.
Dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh ADUN Lambir Ripin Lamat pada majlis itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, melalui pendekatan itu belia akan menjadi lebih produktif dan akan menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






