Mawan enggan ulas isu lompat parti
KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan enggan mengulas lanjut mengenai isu Ketua Wanita SPDP Pakan Patimah Bllaka yang dikatakan lompat parti semalam.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial ketika diminta mengulas selepas merasmikan Majlis Sukarelawan Pemuda Barisan Nasional (BNYV) bagaimanapun hanya berdiam diri sambil mengelak daripada menjawab pertanyaan.
Mawan diminta memberi ulasan lanjut mengenai Patimah dan suaminya dikatakan menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP), parti yang baharu ditubuhkan yang diterajui bekas ADUN Pelagus Larry Sng.
Patimah mengakui mereka pernah memohon untuk menyertai SWP berdasarkan rekod beliau dipetik berkata beliau faham ia satu keperluan untuk mereka memohon Biasiswa Pendidikan Larry Sng untuk anak mereka yang bakal meneruskan pengajian dalam Sarjana Kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia.
Untuk mendapatkan biasiswa berkenaan, mereka perlu menjadi ahli SWP dan kedua-dua ibu bapa mesti menjadi pengundi di Julau, Kanowit, Lubok Antu, Selangau, Sri Aman atau Hulu Rajang.
Pengakuan itu dibuat Patimah bagaimanapun bertentangan dengan kenyataan akhbar yang disiarkan di The Sunday Post yang mana beliau mendakwa mereka belum membuat permohonan untuk menyertai SWP dan terkejut apabila mereka menerima kad keahlian SWP.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






