Golongan muda digalak sumbang idea
Penglibatan mereka digalakkan ke arah kemajuan dan pembangunan negeri, kata Taib
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menggalakkan penglibatan golongan muda daripada pelbagai bidang untuk menyumbang idea serta pandangan ke arah kemajuan dan pembangunan negeri.
Jelasnya, Sarawak kini dalam proses peralihan antara generasi kedua dan ketiga selepas kemerdekaan yang menuntut perubahan struktur ekonomi dan sistem pendidikan seiring dengan aspirasi golongan muda.
Justeru katanya, golongan muda berhak untuk menyatakan bagaimana gambaran Sarawak yang baharu dan bagaimana mereka akan menyumbang kepada perkembangan seperti yang diinginkan oleh mereka.
“Tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak kini mempunyai ramai golongan muda yang berpendidikan dalam pelbagai bidang di mana mereka ingin tahu apa yang berlaku dalam negara serta bentuk-bentuk pendapat daripada para pemimpin.
“Kita kini dalam peralihan antara generasi kedua dan ketiga rakyat Sarawak selepas kemerdekaan.
“Peralihan ini turut melibatkan perubahan struktur ekonomi dalam negara yang menuntut lebih banyak perubahan dalam sistem pendidikan dan aspirasi daripada golongan muda agar mereka tidak meneruskan cita-cita negara yang tidak memuaskan kehendak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi dialog bersama 30 wakil belia OurYouth.my di bawah Conqueror’s Vision Sdn Bhd di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Bercakap mengenai dialog itu, Taib bagaimanapun enggan mengulas isi perbincangan kerana ia merupakan satu perbincangan yang sangat telus antara beliau dan wakil-wakil belia mengenai masa depan Sarawak.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai apa yang dibincangkan kerana ia merupakan satu perbincangan yang sangat telus di mana sesetengah daripadanya tidak dapat saya dedahkan kepada pihak media.
“Kami bercakap terus kepada rakyat, apa yang saya fikir, sebahagian daripadanya saya tidak mahu katakan kepada akhbar kerana kami berfikir ia boleh berlaku pada masa akan datang… ia mungkin betul dan ia mungkin tidak betul,” katanya.
Dalam pada itu, sesi dialog itu semalam bertujuan mendapatkan panduan daripada Taib berhubung peranan penting dan sumbangan belia kepada pembangunan Sarawak.
Pada masa yang sama ia juga untuk memberi peluang kepada belia untuk bersemuka secara peribadi bersama Ketua Menteri bagi membolehkan perkongsian saranan yang positif, pandangan dan keperluan yang akan memberi motivasi kepada mereka.
OurYouth.my merupakan portal web bukan mengaut keuntungan di bawah Conqueror’s Vision Sdn Bhd di mana pengarahnya ialah Datuk Patrick Liew yang merangkumi kumpulan sukarelawan, profesional yang berminat dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan pendidikan khusus untuk belia.
Sejak prapelancaran Mei lepas, OurYouth.com mempunyai ribuan pengikut dalam Facebook yang turut disertai oleh peserta dari Singapura, Filipina, Australia dan Amerika.
Tahun depan, OurYouth.com merancang lebih banyak aktiviti seperti sukan, budaya, kerjaya, ceramah motivasi dan aktiviti amal.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






