Gelandangan harus manfaatkan Anjung Singgah untuk mengubah kehidupan
KUCHING: Penubuhan Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Sarawak yang sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu sewajarnya dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan gelandangan bagi mengubah kehidupan ke arah yang lebih produktif.
Ini kerana, pusat rujukan sosial kepada golongan gelandangan itu bukan sahaja menyediakan tempat penginapan sementara tetapi juga membantu mereka mempersiapkan diri melalui proses kaunseling dan motivasi sebelum memasuki alam pekerjaan.
Demikian tegas Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa lawatan ke Anjung Singgah YKN Sarawak di Jalan Rubber, di sini semalam sambil menambah, usaha membantu golongan gelandangan akan terus dipergiatkan bagi memastikan golongan tersebut diberi peluang untuk berdikari.
“Inilah khidmat baik Barisan Nasional (BN) terhadap golongan orang yang tiada tempat nak mengadu apabila datang ke bandar untuk mencari pekerjaan.
“Kita tidak mahu melihat ada golongan gelandangan yang tinggal dan tidur di kaki lima atau sebagainya seperti yang berlaku di kebanyakan kawasan bandar sebelum ini,” katanya.
Penubuhan Anjung Singgah Sarawak merupakan yang kedua di Malaysia selepas di Kuala Lumpur.
Sejak memulakan operasi pada 15 Oktober lalu sehingga semalam, ia telah merekodkan seramai 35 orang gelandangan berdaftar bagi mendapat perkhidmatan sosial dan bantuan peluang pekerjaan.
Wahida Kamri, 25, dari Sadong Jaya yang menginap di situ sejak empat hari lalu ketika ditemu bual berkata penubuhan Anjung Singgah di bandar raya ini tidak memberi keraguan kepadanya untuk datang berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan.
“Anjung Singgah adalah tempat yang bagus, selamat dan selesa.
“Penubuhannya tidak menimbulkan keraguan saya untuk datang ke bandar bagi mencari pekerjaan,” katanya.
Rakan Wahida, Siti Rohaya Mahamud, 25, juga dari Sadong Jaya turut menyifatkan Anjung Singgah sebagai tempat paling sesuai dan tepat untuk dituju oleh orang seperti mereka.
“Saya berasa bersyukur kerana bukan sahaja disediakan tempat menginap sementara tetapi turut dibantu mendapatkan pekerjaan.
“Antaranya, kami disediakan kemudahan Internet dan komputer riba untuk membuat permohonan pekerjaan,” katanya.
Sementara, lawatan Shahrizat bersama rombongan adalah bagi memastikan penyediaan kemudahan di Anjung Singgah Sarawak dilaksanakan dengan sempurna, dan hasilnya beliau berpuas hati dengan segala yang disediakan.
Sehubungan itu, beliau menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, polis, Jabatan Tenaga Kerja serta agensi-agensi lain yang terlibat atas kerjasama dalam pelaksanaan Anjung Singgah YKN Sarawak.
Selain itu, katanya pelaksanaan Anjung Singgah Sarawak turut menarik perhatian banyak pertubuhan bukan kerajaan yang tampil menyampaikan bantuan menerusi khidmat sukarelawan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YKN Datu Sayed A Rahman Sayed Mohd dan Ahli Lembaga YKN Toh Puan Seri Wan Hibatul Hidayah Wan Ismail.
Category: Berita Tempatan, Sarawak






