RALEIGH, Carolina Utara: Usain Bolt dan Tyson Gay, dua lelaki terpantas di dunia dalam acara 100 meter, akan bertarung di New York, London dan Brussels pada tahun depan, sumber olahraga memberitahu Reuters Rabu lepas.Sumber itu berkata bekas pemegang rekod dunia, Asafa Powell turut akan menyertai perlumbaan di Eropah dan mungkin akan menyertai kedua-dua atlet terbabit di New York.
Perlumbaan di New York dijadualkan pada 12 Jun, London dijadualkan pada 13-14 Ogos manakala Brussels akan menamatkan musim 14 pertandingan dalam Liga Berlian yang baru pada 27 Ogos.
Persatuan Persekutuan-Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), wakil-wakil atlet mahupun pihak penganjur belum lagi mengesahkan jadual Liga Berlian, tetapi Gay berkata pada hujung minggu lepas:
GAY“Saya akan berlumba dengan Bolt sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali.”
Bolt dan Gay kali terakhir bertemu dalam acara 100 meter bukan kejuaraan di New York pada 2008 di mana Bolt dari Jamaica mencipta rekod pertama daripada tiga rekod dunia dalam acara 100 meter. Beliau turut memegang rekod dalam acara 200 meter. Bolt, Gay dari Amerika Syarikat dan Powell dari Jamaica menyapu bersih tiga pingat kejuaraan dunia di Berlin pada Ogos lalu.
Ketiga-tiga atlet telah mengikat kontrak dengan Liga Berlian untuk menyertai tujuh pertandingan di sirkit berkenaan, yang akan menggantikan Liga Emas yang menawarkan enam pertandingan di Eropah.
Setiap daripada 14 pertandingan Liga Berlian dijamin sekurang-kurangnya seorang daripada tiga pelari pecut itu dengan beberapa pertandingan disertai dua atlet dan beberapa pertandingan pilihan disertai ketiga-tiga atlet.
Bolt dan Gay kemungkinan bertanding dalam kedua-dua acara 100 dan 200 meter dalam jadual tujuh pertandingan mereka manakala Powell akan bertanding dalam acara 100 meter secara eksklusif.
“Semua orang di seluruh dunia mahu melihat ketiga-tiga kami lebih kerap bersama, jadi ia akan berlaku,” kata Powell semasa pelancaran Liga Berlian di Monaco pada hujung minggu lepas.
Bolt menambah kata: “Ia pasti menakjubkan, jadi bersiap sedialah semua.”
Penganjur litar tidak mungkin akan mula mengumumkan jadual atlet sehingga lewat tahun ini atau awal tahun depan, kata jurucakap IAAF Nick Davies.
“Kami masih merancang jadual Usain,” kata ejennya, Ricky Simms kepada Reuters dalam satu temuramah telefon. “Saya dapat mengesahkan bahawa beliau akan berlari dalam tujuh perlumbaan.”
Jadual Gay bergantung kepada pemulihan pemegang rekod AS itu daripada pembedahan pangkal paha baru-baru ini, kata pengurus Mark Wetmore.
“Kami sebenarnya bukan dalam kedudukan untuk membuat pengesahan muktamad mengenai pertandingan yang disertainya sehingga selepas tahun baru,” kata Wetmore menerusi telefon. “Beliau sangat berminat untuk bertanding dalam kedua-dua pertandingan AS.” — Reuters




