Masyarakat perlu bekerjasama pastikan generasi muda dapat pendidikan berkualiti bagi sokong pembangunan negeri
KUCHING: Sarawak perlu menghimpunkan tenaga kerja berbakat di dalam negeri sebagai kesinambungan kepada keupayaan pembangunan dalam merealisasikan Wawasan 2020.Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata dengan itu, masyarakat perlu bekerjasama memastikan generasi muda mendapat pendidikan dan latihan berkualiti bagi menyokong pembangunan negeri.
“Saya percaya semua rakyat Sarawak mempunyai bakat dan keupayaan tersendiri untuk menyahut seruan ini dalam merealisasikan Wawasan 2020,” katanya ketika berucap dalam Majlis Malam Mesra 1 Malaysia Bersama Pemimpin BN anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balai Ringin di sini malam kelmarin.
Beliau berkata rakyat negeri ini mempunyai pelbagai bakat yang hanya perlu dikesan, dengan meningkatkan jumlah institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menggalak dan mendidik masyarakat tempatan.
“Sebagaimana yang dikatakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dengan perubahan, dating peluang dan untuk mengambil kesempatan daripada peluang ini kita memerlukan bakat,” katanya.
Jabu juga berkata rakyat Sarawak turut dikenali dengan keupayaan kerana mereka dapat dilatih dan menerimanya dengan cepat.
Dalam pada itu, beliau yang merupakan penaung majlis tersebut turut mengumumkan jaminan bantuan sebanyak RM5,000 kepada enam sekolah di kawasan Balai Ringin.
Hadir sama Timbalan Presiden PBB yang juga Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Ketua Pergerakan Pemuda PBB yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof, Ketua Pergerakan Wanita PBB dan juga Ketua Cawangan PBB Balai Ringin Senator Dato Sri Empiang Jabu, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Dato Sri William Mawan dan Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Dato Sri Michael Manyin.




