JOHOR BAHARU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan menerima 10 buah bot laju dan 14 alat pengimbas ringan dari kerajaan Jepun tahun depan, kata Pengarah Kastam Datuk Seri Ibrahim Jaafar.“Bot laju dan alat pengimbas itu akan diberikan oleh kerajaan Jepun yang menyokong kita dalam usaha membanteras penyeludupan dan operasi mencegah aktiviti-aktiviti haram di perairan kita,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya bot dan alat pengimbas itu diberikan di bawah satu geran bantuan bernilai RM25 juta menerusi Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).
Ibrahim berkata demikian selepas majlis penyerahan satu daripada empat buah bot berkuasa tinggi diberi nama Perantas KB90 oleh pengeluarnya Destination Marine Services Sdn Bhd semalam.
Tiga lagi bot berkuasa tinggi sepanjang 16.5 meters panjang itu seberat 17.5 tan dan mampu mencapai kelajuan maksimum 65 knot akan diserahkan kepada KDRM menjelang akhir tahun ini membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM22.52 juta.
Ibrahim berkata bot yang diserahkan semalam akan ditempatkan di sini manakala yang lain di Mersing; Kuantan, Pahang dan Pulau Pinang.
Katanya dengan perolehan baru aset itu KDRM mampu mengawal keselamatan perairan negara dengan lebih baik bersama-sama Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia dan Polis Marin.—Bernama




