|
MIRI: Kepelbagaian landskap Miri sebagai lokasi pengambaran potret perkahwinan boleh dijadikan pakej baru menarik pelancong, khususnya pasangan pengantin baru untuk datang ke Miri.Datuk Bandar Lawrence Lai berkata, Miri mempunyai pelbagai lokasi menarik, cantik dan istimewa yang masih belum diketahui oleh penduduk di luar Miri, khususnya dari Semenanjung Malaysia yang semestinya perlu diperkenalkan dengan menyeluruh.
Miri, katanya memiliki taman-taman awam yang cantik, pantai, bangunan serta pemandangan yang boleh mencantikkan lagi foto-foto perkahwinan daripada hanya pengambilan gambar di dalam studio.
“Ini merupakan cara baru kita untuk mempopularkan tempat-tempat menarik di Miri. Jurugambar dan pemilik studio boleh membantu kita dengan menggunakan pemandangan ini dalam sesi fotografi mereka,” jelas Lawrence selepas menerima kunjungan rombongan Chris Studio di pejabatnya semalam.
Menurut Lawrence, idea-idea baru yang inovatif amat diperlukan untuk memperkenalkan Miri kepada pelancong tempatan dan luar , dan menarik mereka untuk berkunjung ke sini.
Kunjungan ramai pelancong ke sini membantu menguatkan imej Miri sebagai bandar raya peranginan, sekali gus meningkatkan industri pelancongan Miri.
Dalam pada itu, beliau berbangga dengan usaha Chris Studio mempromosikan Miri menerusi laman web mereka yang berjaya menarik dua pasangan pengantin dari negeri Johor untuk merakam gambargambar perkahwinan di sini.
Pasangan Sim Duan Kee dan Kelly Pou dan pasangan Victor Buguing dan Chong Mei Sim tertarik dengan pakej perkahwinan setelah mengunjungi laman web Chris Studio di alamat Chrisstudio-miri.com.
Mereka berpuas hati dengan gambar-gambar yang diambil dan mahu mengajak rakanrakan di Johor serta Semenanjung Malaysia untuk datang ke Miri dan merakamkan gambar perkahwinan mereka di sini.
“Saya gembira dengan usaha ChrisStudio membawa pasangan pengantin dari Johor ke Miri. Merakam gambar perkahwinan adalah saat yang romantik dan penting untuk setiap pasangan pengantin. Saya gembira kerana mereka memilih Miri,” jelasnya.
Chris Teo dari Chris Studio memberitahu, antara lokasi yang digunakan ialah Kuala Baram, Kampung Pulau Melayu, Tanjong Lobang dan pantai.
Teknik pengambaran yang betul akan menukar suasana dan pemandangan biasa nampak menakjubkan.
“Ianya bergantung kepada cara seseorang jurugambar itu dan mahu menggunakan persekitaran di sini sebagai studio luarnya,” jelasnya.
|
Leave a Reply