SIBU: Pihak polis sedang giat memburu lima orang suspek yang terlibat dalam kes penipuan membabitkan ‘skim pekerjaan’ di negeri ini.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Superintenden Mohd Firdaus Abdullah berkata, kelima-lima suspek yang berasal dari Semenanjung Malaysia, telah dikenal pasti identiti mereka.
“Dipercayai kesemua suspek telah meninggalkan negeri ini dan kita akan cuba mendapatkan bantuan rakan-rakan kita di Semenanjung untuk menjejaki mereka,” katanya ketika mengadakan sidang media di IPD Sibu, pagi semalam.
Mohd Firdaus berkata, kelimalima suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang lelaki yang ditahan pada Jun lepas, selepas menipu 23 orang mangsa yang sedang mencari pekerjaan.
Suspek yang sedang menunggu perbicaraan setelah mengaku tidak bersalah, didakwa menjanjikan peluang pekerjaan kepada mangsa dengan mendapatkan sedikit bayaran pendahuluan.
Bagaimanapun, suspek gagal menunaikan janjinya setelah menerima wang pendahuluan daripada mangsa.
“Kita difahamkan, suspek meminta bayaran kira-kira RM3,000 daripada setiap mangsanya dengan menjanjikan peluang pekerjaan di dalam dan luar negara,” ujar beliau lagi.
Menurut Mohd Firdaus, penipuan ‘skim pekerjaan’ sangat aktif di negeri ini dan kes terbaru yang menggunakan modus operandi sama berlaku pada bulan Mei lepas.
Justeru, katanya, orang ramai harus berwaspada dengan setiap tawaran lebih-lebih lagi membabitkan individu yang tidak dikenali.
Sebaliknya, menurut beliau, orang ramai hendaklah membuat pengesahan terlebih dahulu termasuk merujuk peluang pekerjaan yang ditawarkan dengan pihak Jabatan Tenaga Manusia.
Ini bertujuan untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan pada masa yang sama tidak menanggung jumlah kerugian yang begitu banyak, tambahnya.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua JSJK negeri DSP Stanley Jonathan Ringgit, Pegawai Penyiasat Senior JSJK negeri ASP Undi Dian dan Ketua JSJK Sibu ASP Maria Rashid.




