KUCHING: Belum ada sebarang perancangan untuk memperluaskan pelaksanaan Sistem Pembetungan Bersepadu ke bahagian lain di Sarawak, setakat ini kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.Beliau berkata projek seumpama itu hanya boleh dilaksanakan di kawasan yang mempunyai populasi ramai atau terdapat banyak hartanah.
“Kita perlu melihat jumlah penduduk di kawasan yang mahu dilaksanakan sistem ini. Jika jumlahnya terlalu sedikit, kita tidak dapat menyediakan kemudahan seperti itu di situ.
“Kita belum merancang untuk membina Sistem Pembetungan Bersepadu di kawasan lain , malah belum di Miri kerana populasi di situ masih terlalu sedikit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek Sistem Pembetungan Bersepadu Bandar Raya Kuching di sini, semalam.
Menurutnya jika kerajaan membina sistem pembetungan yang canggih seperti itu di kawasan dihuni penduduk sedikit ia hanya akan membebankan penduduk di situ.
Beliau menambah sekiranya kemudahan seperti itu dibina untuk kegunaan jumlah penduduk yang kecil, tidak seorangpun mampu membayar kos penyelengaraan kerana ia perlu dikongsi bersama.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mempertimbangkan usaha mengguna pakai sistem Sanitasi Ekologikal (EcoSan) bagi mengatasi masalah sanitasi di negeri ini, Taib memberitahu kaedah itu mungkin hanya sesuai dipraktikkan di kawasan terpencil.
“Terdapat banyak teori tetapi adakah ia benar-benar praktikal untuk dilaksanakan di kawasan yang luas dan padat dengan penduduk.
“Membina Sistem Pembetungan Bersepadu di kawasan yang besar adalah lebih murah,” jelasnya.
Sementara itu menurut pakar, sistem pembuangan sisa manusia konvensional tidak lagi menepati standard kebersihan dan kesihatan ketika ini disebabkan tekanan penduduk yang semakin meningkat, perubahan tabiat pengguna dan meningkatnya permintaan terhadap bekalan air bersih.
Bagi memenuhi permintaan- permintaan ini, EcoSan dikatakan pendekatan sesuai untuk menyelesaikan masalah-masalah sanitasi kerana ia mampu mengasingkan najis, air kencing dan sisa kumbahan domestik, dengan itu hanya sedikit air diperlukan bagi tujuan pembersihan.




