KUCHING: Industri perikanan tempatan diberitahu agar mempersiapkan diri untuk mematuhi setiap syarat dan piawaian ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) agar produk keluaran mereka dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa.Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim berkata nelayan tempatan tidak boleh dengan mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka sekarang tetapi harus berupaya memenuhi piawaian ditetapkan EU.
Rohani memberitahu EU akan melakukan audit terhadap kapal-kapal nelayan tempatan mulai April tahun depan dan peluang memasarkan hasil tangkapan laut negara di negara-negara Eropah adalah tinggi, jika kriteria ditetapkan (EU) dipatuhi.
Beliau berkata salah satu kriteria ditetapkan EU ialah tahap kebersihan kapal-kapal menangkap ikan.
“Jangan buang masa sebaliknya mulakan usaha anda (nelayan) sekarang ke arah menepati tuntutan atau piawaian ditetapkan EU supaya hasil tangkapan anda boleh dieksport ke luar negeri,” katanya dalam majlis makan amal Persatuan Usahawan Industri Perikanan Sarawak (Ikhlas) di sini malam Sabtu lepas.
Menurut beliau, EU yang terdiri daripada 27 negara amat mengambil berat terhadap aspek kebersihan dan aspek itu mesti diberi keutamaan oleh nelayan-nelayan tempatan.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar memberitahu EU sepatutnya mula melakukan audit Januari tahun depan tetapi ditangguh ke April selepas beliau sendiri berjaya meyakinkan EU.
Rohani menegaskan perkara itu telah dibincangkan ketika beliau mengadakan lawatan ke Brussel, Belgium sambil menambah penangguhan tarikh audit itu akan membantu nelayan tempatan benar-benar bersiap sedia untuk diaudit (oleh pihak berkenaan).
Majlis makan malam itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.
Hadir sama, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Rohani menambah buat masa ini lapan ladang menternak udang dan empat kilang pemprosesan hasil ternakan itu telah mematuhi peraturan serta syarat ditentukan EU.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap kemajuan industri perikanan negara, saya akan cuba mencari program-program serta kaedah terbaik untuk memajukan lagi industri perikanan tempatan.
“Saya juga akan cuba sedaya upaya mendapatkan peruntukan untuk merancakkan lagi industri perikanan negara kerana ia antara usaha membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Ikhlas Abang Nawawi Abang Drahman berkata persatuan itu telah menubuhkan Tabung Kemanusiaan dan Kebajikan kira-kira enam bulan lalu bagi tujuan kerja-kerja kebajikan.




