|
KUCHING: Kerajaan akan terus memperuntukkan dana bagi kerja-kerja menaik taraf prasarana awam sebagai manfaat kepada rakyat, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman.Misalnya, kata beliau kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta di Kampung Kolong 2 di Matang pada tahun ini bagi kerjakerja menurap jalan dan juga membina sistem saliran yang teratur.
“Bagi penduduk di konstituensi Parlimen Petra Jaya mereka tidak perlu risau kerana kerajaan menyedari kepentingan infrastruktur merupakan keperluan asas anda semua,” kata Daud.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 24 bungkusan makanan kepada keluarga di Kampung Kolong 2 bagi Program Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) di sini, semalam.
Program mensasarkan kanak-kanak di bawah 12 tahun.
Tambah Daud, pada masa yang sama kerajaan memperuntukkan dana bagi menaik taraf prasarana, rakyat juga harus memainkan peranan mereka bagi memastikan projek digunakan sebaiknya.
Misalnya, di Kampung Kolong 2 walaupun jalan raya baru telah diturap, namun keluasannya masih kecil kerana masalah tanah, kata beliau.
Namun, kata beliau masih ramai pengguna kenderaan meletakkan kereta mereka sewenang- wenangnya terutama di musim perayaan atau acaraacara majlis dan ia mungkin akan menyebabkan pertelingkahan antara jiran-jiran.
“Justeru, saya menyeru kepada penduduk kampung untuk berbincang bersama dengan pemimpin-pemimpin masyarakat sekiranya mereka dapat membantu untuk menaik taraf dalam meluasakan jalan raya di sini dan juga menyediakan sebahagian tanah bagi tujuan berkenaan,” tegas beliau.
Pemilik tanah, kata Daud yang memberikan sebahagian tanah mereka kepada kerajaan bagi memperluaskan lagi jalan raya akan digantikan bukan sahaja dengan kewangan tetapi manfaat daripadanya.
Tinjauan yang diadakan di sekitar Kampung Kolong 2 menyaksikan hampir keseluruhan jalan utama telah diturap sementara parit konkrit masih dalam pembinaan.
24 buah keluarga semalam menerima bungkusan makanan yang mengandungi karbohidrat, vitamin tambahan dan minuman bertenaga berkhasiat.
Terdahulu dalam ucapannya Daud, berterima kasih kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (KEMAS) atas peranan mereka membantu masyarakat di Petra Jaya.
|
Leave a Reply