|
MIRI: Pelbagai jenis produk batik daripada 50 pengusaha dari seluruh negara akan dijual semasa Promosi Batik dan Tenun di Pusat Kraftangan Miri selama lima hari, bermula hari ini.Pengerusi penganjurnya, Kijan Toynbee berkata, selain batik keluarga pengusaha di Sarawak, pengunjung juga berpeluang mendapatkan batik keluaran pengusaha dari negeri Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Turut mengambil bahagian ialah pengusaha dari Pusat Kraftangan Miri, Majlis Kraftangan Sarawak dan Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia.
“Pameran kali ini lebih meriah dan berbeza daripada tahun lalu. Sambutan yang diberikan oleh pengusaha begitu menggalakkan.
“Saya juga yakin aktiviti ini akan memberi keuntungan yang lumayan kepada peserta,” jelasnya kepada media semalam.
Beliau menjangka RM500, 000 mampu diperolehi hasil jualan pelbagai produk kraf tangan, batik dan tenun menerusi promosi itu nanti.
Menurut Kijan, aktiviti akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 9 malam dengan tema ‘Satu Malaysia Satu Kraf’.
“Antara tujuan utama aktiviti ini ialah untuk mempromosi seni batik dan tenun sebagai seni warisan bangsa dan negara,” jelasnya.
Beliau menambah kata, penganjur juga akan menjemput pengusaha dari Bario, Long Bedian dan Lawas untuk mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk pengusahapengusaha meningkatkan jualan produk mereka dalam pasaran tempatan.
“Pembelian boleh dibuat scara kad atau menggunakan kad kredit,” jelasnya.
Aktiviti diharap akan meningkatkan kefahaman dan rasa bangga penduduk terhadap seni batik dan tenun sebagai fesyen pakaian yang menarik.
Ianya juga untuk menggalakkan penggunaan batik dan tenun sebagai hiasan dalaman dan fesyen pakaian masyarakat berbilang kaum.
Bagi pengunjung pula, acara demonstrasi kraf sudah tentu akan memberi peluang untuk mereka melihat dengan lebih dekat proses pembuatan kraf yang membabitkan ketekunan, kesabaran dan daya kreativiti pengusaha.
Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin akan merasmikan pameran ini pada 7 November, jam 2.30 petang.
Dijangka hadir ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Dato Abdullah Abdul Rahman
Majlis akan diserikan dengan persembahan muzik tradisional, persembahan kebudayaan, pertunjukan fesyen batik dan demonstrasi kraf tangan.
Aktiviti dianjurkan bersama oleh Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia, Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Majlis Kraftangan Sarawak.
|
Leave a Reply