KUCHING: Festival Wushu ‘Kung-Fu’ Nanyang Sarawak yang berlangsung di Crown Tower di sini semalam mampu melahirkan ramai atlet muda yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.Kejohanan edisi ke-19 berlangsung sehari itu disertai oleh kira-kira 250 atlet dari kalangan pelajar dari sekolah-sekolah sekitar Bahagian Kuching dan Samarahan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman telah diberi penghormatan untuk melakukan upacara penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang.
Berucap pada majlis itu, Daud yakin festival wushu itu mampu menjadi medan bagi mencungkil bakat-bakat muda dari peringkat sekolah.
“Saya percaya kejohanan seperti ini dapat dijadikan gelangang terbaik bagi mencungkil
bakat-bakat muda untuk sukan wushu,” katanya.
Daud juga bangga dengan penyertaan pelbagai kaum dalam festival itu yang beliau anggap tidak dikuasai oleh satu kumpulan etnik sahaja.
Katanya, penyertaan pelbagai kaum dalam sukan wushu itu membuktikan bahawa negeri ini mempunyai atlet pelbagai kaum yang dapat bersaing pada peringkat lebih tinggi.
“Dengan semangat juang dan perpaduan yang dibuktikan oleh semua peserta, saya percaya kita mampu melahirkan ramai atlet berwibawa untuk wushu,” katanya.
Kejohanan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu senior dan junior yang mempertandingkan beberapa aksi seperti kung-fu, belantan, pisau dan bebas (sanshou).
Kejohanan anjuran Persekutuan Wushu Nanyang Sarawak itu ditaja oleh Metro Sedia Grouf, Sport Toto, Crown Tower dan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan
Sosial dan Urbanisasi serta Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).




