|
Ia bagi hadapi kemungkinan berlakunya huru-hara ekoran ancaman Bendera yang mahu halau rakyat Malaysia dari Indonesia
KUCHING: Polis Sarawak akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya huru-hara hari ini ekoran ancaman kumpulan aktivis Indonesia, Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), yang mahu ‘menyapu’ (menghalau) rakyat Malaysia dari negara mereka. Ketua Polis Daerah Kuching ACP Wong Wai Loong yang ditemui semalam berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) telah ditempatkan di semua pintu pemeriksaan manakala polis bandar raya akan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang pengesahan mengenai sebarang serangan tetapi kami sudah meningkatkan pengawasan dan kawalan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah-langkah keselamatann yang diambil pihak polis akibat ancaman yang dilontarkan Bendera.
Pada masa yang sama, Wong berkata pihak yang ada maklumat membabitkan aktiviti dan ahli Bendera harus memaklumkan polis dengan segera.
Sambil menambah kata beliau tidak akan mengulas lagi mengenai perkara itu kerana ia bukan di bawah bidang kuasanya.
Laporan menyebut baru-baru ini, kira-kira 300 warga Indonesia akan menyerang Kuching pada hari ini.
Bendera diketuai Adian Napitupulu, seorang bekas aktivis pelajar yang telah menganjurkan demonstrasi jalanan besar-besaran menentang mantan presiden Indonesia hingga menjatuhkan Suharto pada 1998.
Pada 8 September lalu, anggota Bendera mendirikan sekatan jalan di Menteng, tengah Jakarta, dan memeriksa kad pengenalan orang yang lalu-lalang untuk mencari rakyat Malaysia tetapi tindakan mereka dihentikan oleh polis selepas setengah jam.
Sementara itu, Konsul Indonesia di Sarawak Rafail Walangitan pada Isnin lepas dipetik sebagai berkata, aktiviti yang digerakkan kumpulan itu tidak diiktiraf oleh kerajaan Indonesia.
Sambil menyifatkan Bendera sebagai kumpulan pencetus masalah, beliau berkata polis Indonesia telah memantau rapi pergerakan ahli-ahlinya termasuk ketua mereka.
“Sentimen anti-Malaysia tidak sepatutnya wujud antara warga dua negara itu memandangkan sudah terjalin hubungan akrab umpama sekeluarga sejak sekian lama,” katanya.
|
Leave a Reply