|
Kerajaan akan salur dana tambahan untuk membangunkan kemudahan
MIRI: Hasil pengeluaran petani di 222 kawasan parlimen di seluruh negara akan dipertingkatkan bagi menampung keperluan sumber makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta ikan.Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin berkata, kerajaan akan menyalur dana tambahan untuk membangun kemudahan serta keperluan yang boleh membantu mempertingkatkan pengeluaran sumber makanan, sekali gus menambah pendapatan golongan pengeluar.
“Kita (kerajaan) mahu petani-petani membantu kita mengeluarkan sumber makanan untuk pasaran tempatan. “Kita mahu lebih banyak sumber daripada pengeluar tempatan.
“Kita akan cuba dapatkan dana untuk membantu mempromosi dan menjual produk mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) Miri di Pejabat Residen Miri di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah FAMA Negeri Sarawak Paza Dan dan Timbalan Residen Abdul Aziz Mohd Yusuf.
Chin yang juga Ahli Parlimen Miri memberitahu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM100,000 kepada setiap MPPP untuk melaksanakan program-program pertanian untuk ahli-ahlinya.
Beliau menambah kata, MPPP di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu memodenkan petani, penternak dan nelayan tempatan agar mampu mengeluarkan hasil yang menguntungkan.
“Anda (ahli) perlu sentiasa melaporkan kepada majlis tentang masalah dan keperluan anda agar kami (majlis) dapat membantu anda,” ujarnya.
Chin turut menyeru golongan belia untuk terlibat dalam bidang pertanian yang merupakan perniagaan yang menguntungkan sekiranya dibangunkan dengan bijak dan moden.
Beliau berkata mesyuarat diadakan pada setiap bulan untuk mendapat maklum balas terkini daripada ahliahli majlis tentang perlaksanaan projek.
“Anda juga boleh merujuk kepada Datuk Lee (Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin) dan Aziz tentang majlis ini,” katanya, dan menambah kedua-dua mereka dilantik sebagai timbalan pengerusi MPPP Miri.
Sementara itu, katanya MPPP bertujuan memaklumkan kepada semua pihak berkepentingan dalam kawasan pertanian tentang program-program pertanian yang dilaksanakan di kawasan parlimen masing-masing.
Majlis juga akan mendapatkan idea-idea berhubungan projek tanaman, perikanan, ternakan dan industri asas tani yang boleh dilaksanakan di kawasan parlimen dengan mengambil kira sumber-sumber yang ada.
Selain itu, ia juga mengenal pasti dan menyelesaikan masalah projek, melaporkan perkembangan dan membantu agensi di bawah MOA memantau pelaksanaan projek
Majlis ini melibatkan kerajaan, ahli politik, pihak swasta termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta NGO seperti Persatuan Peladang, Penternak dan Nelayan, persatuan belia dan persatuan alam sekitar.
Urus setia MPP Miri ialah Pegawai FAMA Miri Lois Unggah atau menghubungi pejabat FAMA Miri di talian 085-421127 atau e-mel ke alamat lois@fama.gov.my.
|
Leave a Reply