|
Pelagus merupakan kerusi PRS dan sudah ada calon pengganti yang layak: Nissom
KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) sudah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Larry Sng pada pilihan raya negeri akan datang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Wilfred Nissom berkata PRS sudah memiliki calon yang berkebolehan dan layak mengibar panji Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri depan.
“DUN Pelagus merupakan kerusi milik PRS.PRS sudah pun mengenal pasti calon yang layak untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
Bagaimanapun, Nissom tidak mengulas lanjut mengenai calon yang bakal diketengahkan nanti.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Larry yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Perancangan Ekonomi) yang dipetik sebagai berkata bahawa beliau lebih suka menyerahkan masa depan politiknya kepada pucuk pimpinan BN kerana beliau tidak menganggotai mana-mana parti ketika ini.
“Terus terang saya tidak mahu komen. Respons saya sama seperti yang sebelum ini. Kedudukan saya tidak pernah berubah dan ia sentiasa sama.
“Sehingga kini saya masih bersama BN…Tetapi ia semua bergantung kepada BN untuk menentukan apa yang mereka hendak lakukan untuk masa depan politik saya,” begitulah antara komen Larry ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Kerajaan Negeri di Stadium Perpaduan, Ahad lepas.
Mengulas lanjut kenyataan Larry itu, Nissom menjelaskan bahawa Larry telah mengeluarkan kenyataan yang tepat kerana sememangnya nasib politiknya kini terletak dalam tangan pucuk kepimpinan tertinggi BN Negeri.
“Apa yang telah diperkatakan beliau (Larry) itu adalah tepat sekali,” tambahnya.
Menurut Nissom, Larry bukan lagi ahli PRS setelah ‘dipecat’ dari PRS.
“Beliau (Larry) telah dipecat mengikut perlembagaan parti beberapa tahun yang lepas.”
“Maknanya Larry bukan lagi anggota PRS,” ujarnya lagi.
PRS telah memecat Larry selepas beliau gagal menjawab surat tunjuk sebab daripada PRS kepada beliau kerana melanggar disiplin parti dengan mengadakan Persidangan Perwakilan Tritahunan PRS pada 2007 lepas.
Sementara itu, Larry ketika dihubungi semalam enggan mengulas, dan berkata beliau hanya akan mengulas apabila sampai masanya.
|
Leave a Reply