|
50 penduduk terjejas akibat projek jalan mohon kerajaan atasi kebimbangan mereka
SIBU: Penduduk yang mendakwa terjejas akibat Projek Naik Taraf Jalan Raya Lapangan Terbang Sibu-Simpang Julau mahu wakil rakyat turun padang meninjau masalah mereka.
Penduduk di kawasan Batu 9 ½ Jalan Simpang Durin berkenaan mendakwa, kepentingan mereka tidak diambil kira dalam pelaksanaan projek kerajaan terbabit.
Semasa ditemui baru-baru ini, penduduk mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen turun padang dan berjumpa dengan mereka untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Menurut salah seorang penduduk, Madinah Abdullah, 52, berkata wakil rakyat di kawasan itu tidak prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh mereka, meskipun masalah tersebut sudah kerap kali dipaparkan oleh pihak media.
“Mereka langsung tidak peduli atau mengambil berat terhadap masalah yang kami hadapi. Mereka tidak pernah turun padang meninjau masalah penduduk di sini, tetapi mereka mahukan undi kami apabila menjelang pilihan raya kelak,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, projek naik taraf jalan tersebut menimbulkan masalah besar kepada kira-kira 50 penduduk di kawasan berkenaan kerana mereka berisiko terdedah kepada bahaya lalu lintas apabila ia siap kelak.
Ini kerana, jelas mereka, jalan baru tersebut dibina terlalu dekat dengan kediaman mereka, iaitu kira-kira lima meter, sekali gus mengundang bahaya dan menjejaskan kualiti hidup penduduk di situ.
“Kami akan tinggal di sini selamanya dalam keadaan takut dan suasana bising kerana jalan raya empat lorong ini pasti dipandu laju oleh kenderaan berat. Ini bukannya kawasan bandar atau taman perumahan di mana kenderaan dipandu perlahan. Ini adalah lebuh raya,” tambah Madinah.
Sementara itu, menurut Nancy Semu, 37, pihak kerajaan melalui agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) patut menilai semula projek tersebut kerana keadaan amat berbahaya kepada para penduduk.
“Mereka tidak sepatutnya hanya mementingkan bila projek tersebut disiapkan, tetapi juga perlu mengambil kira keadaan kami sebagai penduduk yang tinggal di sini,” ujarnya.
Tambah penduduk di situ, mereka tidak berniat untuk membangkang projek kerajaan kerana mereka juga mahukan pembangunan, tetapi apalah ertinya pembangunan yang dilaksanakan jika ia menjejaskan kepentingan mereka.
“Tujuan pembangunan untuk keselesaan penduduk dan bukannya untuk menyusahkan penduduk. Adakah kerana kami penduduk luar bandar maka pihak terbabit hanya memandang sebelah mata?” ujarnya.
Oleh itu, mereka merayu dan amat berharap agar kerajaan melalui wakil rakyat dan agensi kerajaan berkaitan dapat bekerjasama membantu menyelesaikan masalah mereka.
|
Leave a Reply