|
Masyarakat perlu lebih mengelak pembaziran dalam keadaan kegawatan ekonomi dunia sekarang: Wilson
PADAWAN: Masyarakat perlu lebih berhemat ketika berbelanja bagi mengelak pembaziran dalam keadaan kegawatan ekonomi dunia sekarang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Wilson Baya Dandot yang berkata demikian menyeru masyarakat supaya berwaspada ketika berbelanja terutama apabila tiba musim perayaan.
“Apabila tiba musim perayaan, ada yang berbelanja sehingga melebihi kemampuan diri yang akhirnya menyusahkan diri sendiri.
“Tambahan lagi dalam keadaan kegawatan ekonomi dunia yang dihadapi sekarang memerlukan kita lebih berjimat cermat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyampaian sumbangan sempena Hari Gawai Dayak anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Sarawak di Teng Bukap di sini semalam.
Majlis itu menyaksikan sumbangan disampaikan kepada 50 orang yang terdiri daripada golongan kurang bernasib baik yang melibatkan penduduk dari Kampung Belimbing Kawa, Bukit Nanas, Gayu, Peraya, Plaman Dunuk, Semeru, Sikog, Sinjok dan Sira.
Sumbangan tersebut berupa hamper, kuih-muih, beras dan wang tunai.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Datu Ismawi Ismuni, Residen Kuching Liew Jiew Ming, Pengarah Pertanian Paul Ritom, Pengarah Kebajikan Kendy Edward, Ketua Majlis Adat Istiadat Datuk Nelli Tangai dan Pemanca Austin Dimin.
Sehubungan itu, Wilson yang juga Yang Dipertua MAKSAK Sarawak berkata dengan sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penerima sempena sambutan Gawai.
“Sempena perayaan Hari Gawai yang akan datang, pihak MAKSAK telah memainkan peranan dengan program amal kebajikan iaitu penyampaian sumbangan ikhlas kepada golongan kurang bernasib baik.
“Program seumpama ini adalah amat bermakna yang juga dapat mengeratkan perpaduan yang menjadi tonggak segala kejayaan yang dikecapi selama ini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, dalam konteks masyarakat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya yang terdiri daripada masyarakat majmuk sememangnya perpaduan merupakan asas kekuatan yang telah terbukti dan diakui di peringkat dunia.
|
Leave a Reply