|
Peruntukan diagih secara berperingkat-peringkat babitkan penambahbaikan jalan
MIRI: Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1.03 bilion untuk pembangunan jalan yang menghubungkan bandar raya ini ke cadangan tapak projek hidroelektrik Bakun, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan.
Beliau berkata peruntukan itu akan diberikan secara berperingkat-peringkat dengan yang pertama membabitkan RM150 juta untuk menambahbaikan jalan sejauh lebih 40 kilometer antara Beluru dan bazar Lapok di daerah Baram.
“Tender untuk kerja-kerja itu ditutup minggu lepas dan kerja-kerja fizikal dijangka dimulakan tahun ini,” katanya semasa melakukan lawatan ke Long Aton, salah sebuah penempatan di daerah Baram baru-baru ini.
Jacob yang juga Anggota Parlimen Baram berkata kerja-kerja pembangunan jalan itu akan membuka lagi daerah luar bandar dan menjadi sebahagian kawasan yang menghubungkan rangkaian sehingga ke Bario, kawasan tanah tinggi di bahagian utara daerah itu yang kini hanya boleh dihubungkan dengan menggunakan pengangkutan udara.
Beliau berkata pembangunan ini menunjukkan penduduk di daerah Baram boleh menerima manfaat daripada pelaksanaan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).
Jacob berkata sungguhpun projek pembangunan koridor itu terletak di bahagian pantai, Baram akan memainkan peranan penting kerana daerah itu akan berfungsi sebagai salah sebuah daripada 12 lokasi di negeri itu yang membekalkan keperluan tenaganya sendiri.
Beliau juga berharap penduduk di daerah Baram akan terus menekankan pentingnya pendidikan di kalangan generasi muda agar merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan daripada projek Score.
Score memerlukan kira-kira 1.6 juta pekerja mahir menjelang 2030 dan generasi muda hendaklah bersedia dari sekarang untuk memperoleh kemahiran yang diperlukan.
Semasa lawatan ke Long Aton, Jacob meluluskan peruntukan RM30,000 untuk membina sebuah dewan orang ramai di penempatan tersebut dan masing-masing RM4,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Long Aton dan Sekolah Kebangsaan Long Sobeng.
Selain Long Aton, beliau juga melawat Long Luteng, Long Sebatang, Long Anap dan Lio Mato.
— Bernama
|
Leave a Reply