Seni bermukun semakin malap
Selain jarang-jarang diadakan terutama di bandar, hiburan moden sekarang menyebabkan hiburan tradisional ini semakin dilupakan
BEGITULAH antara petikan rangkap pantun dalam aktiviti bergendang atau atau popular dengan gelaran bermukun di kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Tetapi sedar atau tidak, kini aktiviti ini menghampiri zaman kemalapan.
Selain jarang diadakan terutama di bandar-bandar, bentuk hiburan moden yang ada sekarang menyebabkan hiburan tradisional itu semakin dilupakan.
Mungkin aturan umum bermukun dan bergendang yang hanya melibatkan golongan berusia dan sangat berpengalaman sebagai tukang gendang atau ‘seh gendang’ menyebabkan seni itu tidak mendapat tempat di hati golongan muda.
Bukan itu sahaja wujudnya bentuk hiburan moden dari segi alat-alat muzik yang digunakan dan kecanggihan alat-alat hiburan seperti band kugiran,’minus-one’, muzik techno, disertai persembahan kumpulan orkestra, nyanyian secara langsung serta karaoke menyumbang kepada kelenyapan seni itu secara perlahan-lahan.
Wujud satu lagi seni baru iaitu ‘shuffle’ yang digilai remaja ketika ini menyumbang kepada kemusnahan seni bermukun.
Situasi sedih menimpa budaya masyarakat Melayu dan Melanau ini khasnya di Sarawak diakui Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Mary Fatimah Subet yang mengatakan aktiviti yang sangat popular suatu ketika dulu semakin hampir menuju ke arah kelenyapan.
“Tidak keterlaluan kalau kita mengatakan kehadiran hiburan moden ini secara tidak langsung bertanggungjawab ke atas ketidakpopularan aktiviti berkenaan terutama sekali di kawasan bandar,” kata Mary ketika membentangkan satu kertas kerja pada Seminar Budaya Melayu Sarawak ke-V baru-baru ini.
Umum sedia maklum pada zaman dahulu bermukun sungguh popular di Sarawak dan amat digemari serta sering diadakan pada majlis keraian seperti perkahwinan dan berkhatan bagi menghiburkan tetamu yang hadir.
Bukan hanya masyarakat Melayu dan Melanau yang menjadikan seni bergendang atau bermukun hiburan mereka pada masa lapang tetapi kaum Bidayuh turut mengamalkan budaya tersebut.
Bagaimanapun kini aktiviti itu bagaikan dipinggir dan jarang sekali diadakan kerana tiada lagi orang yang mahir bergendang dan berpantun.
Tambahan pula, generasi muda masyarakat Melayu dan kaum-kaum lain juga kurang minat pada seni yang pernah menjadi salah satu mainan rakyat suatu ketika dulu.
“Daripada kajian kita ramai masyarakat Melayu tahu akan adanya budaya bermukun tetapi ramai juga mengatakan mereka tidak pernah menyaksikan sendiri akvitivi itu diadakan.
“Malah daripada kajian itu kita mendapati 70 peratus daripada koresponden tidak pernah terlibat dalam majlis seni bergendang dan bermukun. Kalau ada yang terlibat mereka hanya selaku tetamu dan menari,” katanya.
Mary berkata kemalapan seni itu satu kerugian buat masyarakat Melayu, apa tidaknya bergendang dan bermukun sebenarnya mempunyai nilai tersendiri dan begitu unik.
Kurangnya promosi dan pendekatan lebih menarik juga dikenal pasti antara punca menyebabkan seni warisan berzaman itu semakin diketepikan.
Dalam konteks kotemporari kata Mary seni ini hanya hadir di corong-corong radio atau dipersembahkan di pentas budaya seperti di Tebingan Kuching atau dipertontonkan bagi tujuan pelancongan.
“Mungkin bermukun yang diadakan ketika ini hanya untuk tujuan promosi bukannya aktiviti utama bagi mengisi masa lapang atau berhibur,” tambahnya.
Menurut Mary berdasarkan kaji selidik yang dilakukan bersama seorang lagi pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Unimas, Salbia Hassan, 70 peratus daripada responden mengatakan mereka mengetahui wujudnya aktiviti itu tetapi tidak pernah menyertainya.
“Ada antara responden yang pernah melibatkan diri dalam majlis bergendang dan bermukun ini majoritinya sebagai tetamu sahaja dan ada juga yang terlibat sebagai penari atau lebih dikenali sebagai ‘topeng’.
“Tiada yang terlibat sebagai pemain gendang atau ‘seh gendang’ atau menjemput gadis-gadis dari rumah mereka kemudian menghantar mereka pulang seperti diamalkan dulu,” ujar Mary.
Bagaimanapun Mary mengakui bergendang dan bermukun masih diamalkan oleh sesetengah masyarakat Melayu khususnya di kampung-kampung tetapi ia amat jarang dilakukan.
Kalau ada pun katanya, bermukun dilakukan tanpa mengikut aturan umum aktiviti itu seperti menjemput anak-anak dara untuk menghadiri aktiviti dan menghantarnya pulang sebaik selesai majlis bergendang atau bermukun.
“Dalam masyarakat Sarawak hal ini dikenali sebagai datang berambik, pulang beranta,” tambah Mary.
Menurutnya lagi majlis bergendang dan bermukun sekarang tidak dilakukan mengikut aturan umum lain seperti ‘bercampak’ iaitu ‘topeng’ akan mencampak sesuatu seperti bunga, duit syiling atau sapu tangan ke dalam tabir yang memisahkan para gadis dengan seh gendang.
“Bercampak ini membawa maksud tertentu seperti terlalu gembira atau seronok apabila dipuji kacak, pandai menari dan seumpamanya oleh seh gendang. Selain mencampak kepada seh gendang ‘topeng’ juga mencampak untuk gadis-gadis di belakang tabir,” jelasnya.
Mencerita keunikan serta kehebatan di sebalik bermukun dan bergendang, Mary dalam kertas kerjanya berkata aktiviti seni itu sebenarnya satu acara untuk menunjukkan kebijaksanaan orang terlibat menerusi berbalas pantun.
Dalam konteks ini katanya, peserta berbalas pantun secara berirama, tujuannya menguji minda seh gendang yang biasanya menjual pantun kepada ‘topeng’.
“Ada kajian yang dijalankan para ahli akademik mendapati bergendang dan bermukun merupakan aktiviti mempamerkan kebijaksanaan, kemahiran, kecekapan tingkah laku fizikal dan menguji minda.
“Gabungan daya fikir dan daya kreatif fizikal yang terdapat dalam bergendang atau bermukun menyebabkan aktiviti ini sangat istimewa.
“Namun malangnya nilai-nilai ini gagal dilihat generasi sekarang yang menyangka aktiviti ini hiburan yang membosankan dan ketinggalan zaman,” ujar Mary.
Menurut cerita orang tua-tua katanya, majlis bermukun atau bergendang adalah acara amat dinantikan oleh anak-anak muda kerana itulah masa untuk mereka mencari jodoh, berkenal-kenalan sambil berhibur.
Keadaan itu tidak menghairankan kerana pada masa dulu anak-anak gadis jarang keluar rumah dengan bebas.
Satu lagi perkara menarik tentang seni hiburan tradisi ini ialah seorang ‘topeng’ biasanya akan membawa dan menukar sekurang-kurangnya dua hingga tiga pasang baju untuk menghadiri majlis bergendang dan bermukun.
“Ini kerana bertandak memerlukan gerakan fizikal berterusan sehingga peluh mengalir keluar membasahi badan.
“Tujuan ‘topeng’ menukar baju adalah supaya sentiasa kelihatan segak sepanjang majlis itu berlangsung,” katanya.
Melihat keunikan seni bergendang atau bermukun Sarawak maka wajar langkah-langkah tertentu diambil oleh agensi-agensi berkaitan bagi memastikan warisan berzaman itu dikekalkan dan terus relevan dengan keadaan semasa.
Memperdengarkan seni ini di corong-corong radio atau dipersembahkan di pentas budaya katanya tidak memadai untuk melahirkan kesedaran di kalangan orang Melayu bahawa seni nenek moyang masyarakat mesti dikekalkan.
“Oleh itu agensi bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif tertentu ke arah menghidupkan budaya ini agar berusaha lebih keras lagi untuk memastikan budaya ini terus kekal dalam masyarakat Melayu Sarawak.
“Ini kerana sudah ada kelibat bahawa suatu hari nanti dikhuatiri budaya unik ini akan lenyap ditelan zaman,” tambahnya.
Category: Sarawak






