|
Konsep ’Satu Malaysia’ yang dijadi agenda utama PM diharap mampu menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini
KUCHING: Pelaksanaan konsep ‘Satu Malaysia’ yang dijadikan agenda utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menerajui tampuk pemerintahan negara mulai 3 April lepas diharap mampu menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini.
Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini semalam mendapati rakyat pelbagai kaum di negeri ini menyambut baik konsep berkenaan dan diharap dapat direalisasikan oleh pemimpin negara.
Zulkifli Mohammad, 36, menyambut baik pengenalan konsep berkenaan dan berharap pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan lebih adil dan saksama terhadap semua etnik.
Menurut beliau, konsep itu harus dilakukan secara teratur dan sistematik bagi memastikan tidak ada kaum-kaum di negara ini terpinggir daripada sebarang pembangunan.
“Saya amat berharap Perdana Menteri (PM) dapat mengotakan janjinya kepada semua rakyat tanpa memikirkan kepentingan diri dahulu, sebaliknya kerja dan menggalas tanggungjawab untuk rakyat dahulu.
“Jika rakyat senang hati… perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai etnik dan agama dapat diku-kuhkan demi kestabilan dan kemakmuran negara tercinta ini,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.
Zulkifli yang berasal dari Jitra, Kedah menambah, PM harus berbincang dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud agar memansuhkan kegunaan pas lawatan sosial dan juga pasport terhad bagi kebaikan orang Semenanjung sepertinya.
“Jika perkara ini menjadi kenyataan, ia semestinya menggembirakan semua pihak terutamanya warga semenanjung yang menetap dan bekerja di sini (Sarawak). Justeru, ini baru boleh dikatakan ‘Satu Malaysia’,” ujarnya.
Laungan ‘Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan’ menjadi agenda utama Najib selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam.
Kata Najib, konsep ‘Satu Malaysia’ ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati dan keyakinan antara satu sama lain.
Bagi Collyn Leong, 23, pula berharap konsep tersebut adalah realistik dan bukan sekadar impian sahaja.
Menurutnya, kaum bukan bumiputera seperti Cina dan India tidak sepatutnya dipinggirkan dalam pelbagai aspek sama ada dari segi sosial, ekonomi mahupun politik.
“Kadang-kadang kami (kaum Cina) terpinggir khususnya dari segi pelajaran. Walaupun kami mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi peluang melanjutkan pengajian di universiti adalah terhad.
“Oleh itu, saya berharap agar PM dapat mengatasi masalah ini dengan memberi tumpuan kepada konsep ‘Satu Malaysia’ dengan menghapuskan sistem kuota,” tambahnya.
Collyn yang juga seorang juruoptik berharap kerajaan akan lebih prihatin dan terbuka mendengar pandangan dan suara rakyat tanpa pilih kasih (tidak adil).
“Semua etnik harus diberi keutamaan sama rata dalam wacana pembangunan yang telah dirancang untuk rakyat.
“Peluang pekerjaan dan pelajaran patut diselaraskan tanpa memberi keutamaan kepada satu bangsa sahaja,” jelasnya.
Emolin Taha, 28, turut sependapat dengan Zulkifli iaitu kerajaan lebih adil dan saksama terhadap semua etnik.
Sehubungan itu katanya, pemimpin atau barisan kabinet pusat yang baru perlu mengutamakan keadilan dan kesaksamaan untuk semua rakyat jelata.
“Jangan hanya memberi tumpuan kepada satu bangsa sahaja. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menikmati dan merasai hak istimewa sebagai warganegara.
“Kalau satu kaum sahaja diutamakan, apa akan jadi dengan etnik lain? Kami (kaum bumiputera Sarawak) juga mahukan manfaat yang sama kan?,” katanya,
Emolin sangat gembira dengan konsep ‘Satu Malaysia’ ini jika kerajaan benar-benar mampu menyatukan pelbagai kaum di negara ini.
|
Leave a Reply