|
Tragedi ikan mati di Belaga berulang lagi di Sungai Mujong, Kapit
KAPIT: Jika pada 1 Januari lepas, penduduk Belaga gempar apabila menyaksikan ribuan bangkai ikan terapung di sepanjang Batang Rajang, kini keadaan sama berlaku di Sungai Tiau, Mujong, iaitu sebatang anak Sungai Baleh.
Seorang kakitangan Seksyen Perikanan di bawah Jabatan Pertanian Bahagian Kapit, Rumpang Gumbang berkata kejadian itu berlaku pada 10 Januari lepas.
“Penduduk rumah panjang di Sungai Mujong menyedari kejadian itu apabila melihat ratusan ikan pelbagai spesies tercunggap-cunggap di permukaan air, manakala udang melompat-lompat ke tebing sungai,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.
Tuai Rumah Nisin Bunyau yang menyaksikan sendiri kejadian tersebut memberitahu pada pagi berkenaan, air Sungai Mujong sedang banjir besar.
“Ketika itu saya berdiri di jeti dan melihat buat pertama kali dalam hidup saya… arus sungai amat deras dan berlumpur,” ujar Nisin.
“Saya terkejut melihat begitu banyak bangkai ikan hanyut bersama kayu-kayu serta himpunan ranting pokok (pelbagai saiz dan bentuk) dalam air seakan-akan lumpur.”
Bagaimanapun, tuai rumah Nisin tidak berani mengambil bangkai ikan tersebut kerana khuatir akan keselamatan diri dan keluarga, ekoran punca kematian ikan itu masih belum diketahui.
Seorang lagi saksi, Dinggai Geramong dari Rumah Bangkong, Mujong memberitahu pada kira-kira jam 10 pagi hari berkenaan, beliau amat terkejut melihat kayu bersama ranting dihanyutkan air sungai yang tebal dengan lumpur kekuningan.
“Ketika itu saya melihat begitu banyak ikan bermacam-macam spesies tercunggap-cunggap serta yang telah mati terapung disungai,” jelasnya.
Menurut Dinggai, antara spesies ikan yang ditemui mati dan terapung di permukaan sungai ialah lais, buris, baung, adong, keli, empurau, semah, tengadak dan toman, selain udang-udang kecil.
Seperti Nisin, Dinggai juga memaklumkan kejadian kepada Rumpang yang kemudian menasihatkan mereka (Nisin dan Dinggai) melaporkan perkara tersebut kepada polis untuk siasatan lanjut.
Isnin lepas (12 Januari), Nisin sendiri melaporkan perkara tersebut di Balai Polis Daerah Kapit.
Dalam pada itu, Rumpang telah membawa sampel bangkai ikan yang dijumpai bagi tujuan mengenal pasti punca kematiannya ke stesen perikanan di sini.
Pada Rabu hingga Jumaat lepas, dua pegawai penguat kuasa dan perlesenan dari ibu pejabat Kementerian Pertanian Kuching, Zakri Padil dan Chong Ted Kin pergi ke tempat kejadian bersama beberapa kakitangan Jabatan Pertanian Kapit melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian ikan yang banyak itu.
Sampel-sampel bangkai ikan yang diperolehi telah dibawa kembali ke Kuching, kelmarin.
|
Leave a Reply