Minta RM2-RM5 untuk tambang sampan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab
SIBU: Penduduk Sibu dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap individu yang menyamar sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ketika mereka menghulurkan ban-tuan kepada mangsa banjir di sini.
Ini kerana terdapat aduan daripada orang ramai yang mengatakan anggota JPAM Sibu mengenakan tambang sebanyak RM2 hingga RM5 terhadap mangsa banjir di Jalan Ulu Sungai Merah, yang menggunakan khidmat sampan untuk berulang-alik dari rumah semasa banjir melanda, baru-baru ini.
Ketika menafikan sekeras-kerasnya aduan tersebut, Pegawai JPAM Sibu Leftenan Muda Madihi Habib menjelas-kan anggotanya tidak pernah melakukan tindakan sedemikian kerana JPAM menjalankan tugas dengan ikhlas.
“Perbuatan sedemikian mencemarkan nama baik jabatan dan saya percaya mungkin ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan melakukan perkara terbabit, sehingga menyebabkan mangsa di kawasan berkenaan salah faham terhadap JPAM,” ujarnya pada satu sidang media di pejabatnya, semalam.
Madihi berkata, orang ramai tidak seharusnya keliru dengan anggota JPAM kerana jabatan itu mempunyai beberapa pakaian seragam yang tertera logo JPAM.
“Selain pakaian seragam, JPAM juga mempunyai baju-t berwarna oren yang turut mempunyai logo di depan dan tertera perkataan JPAM di bahagian belakangnya, termasuk anak baju (vest) berwarna oren dan hijau yang mempunyai logo serta pantulan cahaya,” katanya.
“Sampan yang digunakan oleh JPAM semasa banjir juga turut memaparkan logo JPAM.”
Menyentuh mengenai operasi JPAM, Madihi menjelaskan bahawa anggotanya telah menggunakan sebanyak tujuh buah bot semasa menjalankan operasi membantu mangsa banjir di bahagian ini.
“Kami menggunakan tujuh buah bot di mana tiga daripadanya digunakan di Kampung Bahagia Jaya, Teku, sebuah bot di bahagian Mukah dan tiga buah bot lagi diletakkan dalam keadaan bersiap sedia,” jelasnya lagi.
Semasa menjalankan operasi banji,r menurut Madihi, pihaknya telah menerima sebanyak 24 panggilan kecemasan termasuk dua panggilan kecemasan sakit yang berlaku di Kampung Sentosa.
“Saya menasihatkan agar orang ramai di sini tidak menyalahgunakan khidmat bantuan yang disediakan JPAM semasa banjir kerana JPAM hanya membantu mangsa banjir yang perlu dipindahkan sahaja,” jelasnya.
Menurut Madihi lagi, terdapat segelintir individu menyalahgunakan peranan JPAM dengan meminta anggota JPAM menghantar dan mengambil mereka dari bandar untuk membeli barang keperluan, sedangkan JPAM hanya berperanan memindahkan mangsa banjir.
“Ada segelintir orang dilihat mengambil kesempatan terhadap JPAM semasa menghulurkan bantuan ketika banjir, malah ada yang meminta bekalan makanan daripada JPAM,” ujar beliau dengan nada kesal.
Madihi berkata, orang awam harus faham akan tugas sebenar JPAM kerana JPAM bukan badan kebajikan, sebaliknya sebuah jabatan yang menghulurkan bantuan untuk memindahkan mangsa banjir serta sebarang kejadian kecemasan.
Dalam pada itu, JPAM masih membuka bilik gerakannya selama 24 jam di Kem Sri Rejang sehingga keadaan banjir di Sibu pulih sepenuhnya.
Orang ramai yang memerlukan bantuan semasa banjir atau berlaku kecemasan semasa banjir boleh menghubungi terus JPAM Sibu di talian 084-340455.




