Prasekolah bantu tambah minat kanak-kanak untuk belajar dan berinteraksi
MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pujut Andy Chia berkata pendidikan awal di pusat asuhan atau prasekolah membantu ibu bapa menyerlahkan kepintaran dan bakat anak-anak mereka.
Berucap merasmikan majlis perasmian graduasi dan konsert Pusat Asuhan Kanak-Kanak Hill Crest di kompleks membeli belah Boulevard semalam Andy memberitahu, pendidikan prasekolah juga menambah minat kanak-kanak untuk belajar serta interaksi dengan kanak-kanak sebaya mereka.
“Kini semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan kerana pusat-pusat asuhan kini menawarkan pendidikan yang efektif dan sistematik,” jelasnya.
Beliau menambah, teknik pengajaran yang berkesan membantu melahirkan kanak-kanak yang bijak dan minat belajar.
Bagaimanapun peranan ibu bapa untuk menggalak anak minat belajar diperlukan demi memastikan kepintaran dan keupayaan anak mereka dikembangkan ketika belajar di sekolah.
“Ibu bapa perlu tahu bahawa pendidikan prasekolah juga penting dalam peringkat sistem pendidikan formal kerana ia merupakan landasan awal pendidikan anak-anak kita,” ujarnya.
Mengulas tentang pusat asuhan Hill Crest, Andy memberitahu pusat berkenaan adalah antara pusat asuhan yang menyediakan pengajian prasekolah yang efektif dan lengkap, membolehkan kebolehan kanak-kanak membaca, mengira dan menulis.
Beliau mengucap tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan atas kejayaan menaiktaraf status pusat asuhan kepada tadika Bukit Mewah pada tahun depan.
Hadir sama ialah Pengarah Hill Crest Dr Mary Hii Yang Eng, Pengetua Hill Crest Susie Chai dan Pengetua SMK St Joseph Marcus Gau Lian.




