|
Sumber air mentah yang tercemar perlu kos tinggi untuk merawatnya
KUCHING: Rakyat negeri ini mesti menjaga sumber air mentah jika mahu menikmati bekalan air terawat berkualiti dengan harga berpatutan, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Berucap merasmikan pelancaran Loji Perawatan Air Kampung Annah Rais, Padawan semalam Awang Tengah berkata kos tinggi diperlukan untuk merawat sumber air mentah yang terjejas kualitinya sehingga bebannya turut dirasai rakyat.
“Kalau kualiti air mentah bagus, kos merawatnya pun murah. Apa pun sistem yang kita guna sama ada kaedah retikulasi atau alternatif digunakan untuk menyalur bekalan air terawat kepada rakyat, sumber air mentah harus dijaga dengan sebaik mungkin.
“Jangan ada aktiviti yang boleh mengakibatkan sumber air mentah kita tercemar, kalau tidak kos merawatnya bagi tujuan kegunaan harian akan tinggi, yang rugi rakyat sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata sebarang aktiviti pencemaran sumber air mentah di negeri ini harus dilaporkan kepada pihak berwajib supaya langkah sewajarnya dapat diambil.
“Apabila sumber air mentah dapat dipelihara, bekalan air bersih adan terawat akan dapat disalurkan ke lebih banyak kawasan luar bandar di hulu sungai dan kawasan pesisiran.
Mengenai sistem bekalan air alternatif untuk penduduk luar bandar di negeri ini, Kerajaan Negeri akan menerokai segala teknologi pembekalan air bersih dan mengadaptasi yang sesuai bagi memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk luar bandar mendapat bekalan air bersih pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-9.
“Ketika ini hanya 55 peratus penduduk bandar menikmati bekalan air bersih.
“Tidak semua sistem bekalan air alternatif boleh digunakan di semua kawasan luar bandar di negeri ini disebabkan masalah geografi selain kampung atau luar bandar berselerak dan jauh antara satu sama lain,” jelasnya.
Dalam ucapannya juga Awang Tengah mahu penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda pihak tertentu yang hanya mempunyai kepentingan peribadi dan politik.
Beliau berkata propaganda yang bertujuan mengelirukan rakyat biasanya bermusim dan lebih ketara ketika menjelang pilihan raya.
“Jika rakyat terpengaruh dengan propaganda ini, mereka pasti akan rugi selain berlaku perpecahan antara kaum yang akhirnya menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi.
“Kestabilan politik, ekonomi dan perpaduan yang utuh adalah kunci kejayaan dan perubahan positif,” katanya.
Selain itu, Awang Tengah berkata kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat sangat penting bagi membolehkan semua rancangan pembangunan dapat dilaksana seperti dirancang.
Sementara itu, projek bekalan air di Kampung Annah Rais merupakan loji prawatan perintis menggunakan kaedah membran penapisan ultra dan berkapasiti 5,000 liter sehari.
Ia dilaksanakan oleh Group Engineers Sdn Bhd dengan kerjasama ERABA Corporation dari Jepun bagi menggantikan bekalan air daripada tekanan graviti yang digunakan oleh penduduk rumah panjang berkenaan sebelum ini.
Projek sama telah dilancarkan di Stass Bau, Marudi dan Limbang dan kajian lebih terperinci bagi tujuan menambah baik akan dilakukan bagi membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar mendapat manfaat daripada sistem alternatif itu.
Dalam pada itu, turut hadir Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Ambrose Blikau, Menteri Muda Bekalan Air Sylvester Entri, Ahli Dewan Undangan Negeri Tarat Roland Sagah, Residen Kuching Rodziah Mohd Morshidi dan Pengarah Urusan Group Engineers Malaysia Sdn Bhd Kuek Eng Mong.
|
Leave a Reply