|
KUCHING: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Malaysia (SPAM) akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun depan bagi menyelaraskan fungsi 13 agensi termasuk lima kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal pengangkutan di negara ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berkata suruhanjaya berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun atau Julai tahun depan dan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.
“Suruhanjaya ini akan menyatukan kesemua fungsi 13 agensi termasuk lima kementerian dalam hal pengangkutan negara.
“Apabila beroperasi nanti SPAM akan menyelaraskan pemberian lesen teksi, limosin, bas awam dan bas pelancongan, begitu juga pengeluaran permit-permit pengangkutan perdagangan lain,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Terdahulu Lajim merasmikan Pameran Bergerak Keselamatan Jalan Raya 2008 Peringkat Negeri Sarawak di tHe Spring.
Pameran selama tiga hari mulai semalam dan berakhir 30 November ini dianjurkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
Dari aspek penguatkuasaan pula katanya ia kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.
“Tugas SPAM ialah menyeluarkan lesen dan permit pengangkutan.
” Saya yakin dengan penyelarasan fungsi-fungsi ini nanti ia akan memudahkan lagi perancangan dibuat dan tindakan diambil untuk memperbaiki mutu pengangkutan di negara ini,” tambah Lajim.
Mengenai pelan Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Sarawak Lajim berkata: “Memang kementerian ada pelan pengangkutan komprehensif di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak tetapi dua buah negeri ini mempunyai keadaan berbeza dengan di Semenanjung Malaysia.”
Lajim berkata di Semenanjung Malaysia kementeriannya boleh mencadangkan pelbagai langkah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam tetapi tidak di Sabah dan Sarawak kerana masalah utama di dua buah negeri berkenaan ialah sistem jalan rayanya masih belum mencapai tahap memuaskan.
“Selain banyak jalan di Sarawak belum berturap, masih ramai penduduknya bergantung kepada pengangkutan air.
“Namun terpulang kepada Kerajaan Negeri meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini dan kita di peringkat persekutuan akan terus membantu menerusi pemberian peruntukan dan cadangan penambahbaikan,” katanya.
Beliau menambah, kualiti pengangkutan awam di peringkat negeri juga merupakan tanggungawab pihak berkuasa tempatan.
Diminta mengulas perkembangan permohonan Syarikat Penerbangan Tambang Murah AirAsia membina Terminal Penerbangan Tambang Murah (TPTM) di Sarawak, Lajim berkata buat masa ini kementeriannya masih di peringkat rundingan dengan syarikat berkenaan.
“Buat masa ini kita masih berbincang dengan AirAsia. Kalau boleh kita mahu AirAsia kekal beroperasi di terminal sedia ada sekarang ke-rana membina terminal baru semua aspek perlu diambil kira,” katanya.
|
go go org swk…agi idup agi ngelaban.