|
Ia berlaku kerana ramai kanak-kanak kini mengalami kes-kes obesity
KUCHING: Berdasarkan data terkumpul dan trend yang dialami masyarakat ketika ini, semakin ramai kanak-kanak mula menghidap penyakit diabetes jenis kedua, yang hanya boleh dikawal melalui suntikan insulin atau pemakanan seimbang.
Pakar Kanak-kanak Jabatan Pediatrik, Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Kok Juan Loong berkata peningkatan penyakit jenis kedua itu adalah disebabkan ramai kanak-kanak kini mengalami kes-kes obesiti (kegemukan).
“Walaupun pada kebiasaannya kita sering mendengar kanak-kanak mengalami penyakit diabetes jenis satu namun sejak kebelakangan ini kes untuk penyakit jenis kedua pula semakin meningkat.
“Ini disebabkan bertambahnya kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan,” jelas Kok kepada pemberita.
Terdahulu beliau menjadi ahli panel untuk forum diabetes sempena majlis sambutan Hari Diabetes Sedunia 2008 di Dewan Masyarakat Kenyalang Park di sini semalam.
Menurut Kok, diabetes terbahagi kepada dua kumpulan sama ada membabitkan jenis satu mahupun kedua.
Bagi tahap pertama, ia kerap menyerang kanak-kanak ataupun remaja tetapi masih boleh dikawal melalui suntikan insulin (sejenis hormon yang dikeluarkan oleh organ pankreas), pemakanan seimbang serta senaman.
Untuk jenis kedua pula, ia selalunya dikaitkan dengan golongan dewasa berumur 40 tahun ke atas serta individu yang berlebihan berat badan.
Penghidapnya tidak perlu bergantung kepada insulin sebaliknya harus mengamalkan pemakanan seimbang, memakan ubat serta bersenam, katanya.
Dr Kok berkata punca utama obesiti adalah disebabkan pemakanan tidak seimbang dan makanan bergula berlebihan.
“Kadangkala kita tidak tahu bahawa obesiti adalah masalah kesihatan. Kita selalu menganggap bayi atau kanak-kanak yang gemuk comel dan montel.
“Namun di sebalik realiti, obesiti adalah satu penyakit dan masyarakat harus sedar dan membawa anak-anak berjumpa dengan doktor untuk mengetahui sama ada mereka menghidap diabetes atau tidak,” katanya.
Secara umum, beliau menyebut pemakanan seimbang untuk bayi ataupun kanak-kanak kini, perlulah bermula dari susu ibu kerana ia mampu membendung diabetes.
“Dalam data, ia jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menyusu susu ibu kurang sekali menghidap penyakit diabetes,” kata Dr Kok.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Dr Faizal Mansoor berkata peningkatan penghidap diabetes kini didorong oleh perubahan gaya hidup masyarakat yang tidak terkawal.
“Saya fikir apabila kita melihat budak-budak sekolah sekarang berapa ramai mereka yang kurus, tinggi dan sihat tubuh badan? Tentu tidak ramai bukan?
“Dahulu memang kita anggap hanya orang dewasa sahaja berisiko mendapat diabetes tetapi oleh kerana gaya hidup yang semakin tidak menentu ma ka kanak-kanak pun boleh mengalaminya,” kata Faizal.
|
Leave a Reply