KUCHING: Aktiviti berdakwah bukan lagi dilaksanakan di surau atau masjid tetapi akan diperluaskan ke kawasan tumpuan ramai seperti pasar raya di negeri ini, mulai tahun depan bagi menangani penglibatan golongan remaja muslim dengan aktiviti kurang sihat termasuk ketagihan arak.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pihaknya masih mengadakan beberapa perbincangan untuk mencari ustaz-ustaz yang berkebolehan ‘turun padang’ berdakwah dengan golongan remaja sasaran.
“Setakat ini, aktiviti berdakwah atau memberi ceramah agama hanya dilakukan di surau dan masjid… mereka yang hadir juga terhad dari segi jumlahnya ke-rana hanya disertai oleh jemaah sahaja.
“Bagaimanapun, golongan sasaran seperti remaja lepak dan mereka yang terjebak dengan aktiviti bertentangan dengan ajaran agama tidak hadir mendengar ceramah agama di masjid,” katanya sambil menambah, atas alasan itu maka pendakwah akan ‘turun padang’ mulai tahun depan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pem- berita pada majlis perasmian penanguhan khatamal al-Quran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Tupong di Petra Jaya di sini, semalam.
Dalam pada itu, usaha menggubal undang-undang melarang penjualan minuman keras di kawasan penempatan majoriti Melayu juga sedang giat dilakukan.
“Kerajaan memandang serius masalah ketagihan arak di kalangan remaja Melayu kerana beberapa kes pergaduhan sehingga melibatkan kematian termasuk yang berlaku di Tebingan Kuching, baru-baru ini juga dipercayai berpunca daripada minuman keras,” tambahnya.
Majlis khatamal al-Quran yang disertai 18 murid SK Rakyat Tupong itu turut dihadiri oleh wakil Pegawai Pelajaran Gabungan Kuching Nasir Salem dan Guru Besar SK Rakyat Tupong Talip Joperi.




