KUCHING: Kenaikan harga bahan binaan telah menyebabkan empat projek besar di negeri ini, yang dikendali di bawah Kementerian Kerja Raya disifatkan sebagai ‘projek sakit’ setelah tertangguh lebih tiga bulan.
Satu lagi faktor mengakibatkan projek itu ‘sakit’ ialah kerana ia terletak di kawasan tanah gambut dan memerlukan kerja-kerja berat serta kos tinggi bagi mengisi dan me-ratakan strukturnya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata salah satu projek ‘sakit’ itu ialah pembinaan jalan manakala tiga yang lain melibatkan pembinaan bangunan kerajaan termasuk pejabat daerah.
Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan lokasi ‘projek sakit’ tersebut.
“Mana-mana projek yang tertangguh tiga bulan atau lebih, kami menyifatkannya sebagai sakit. Jika ada sesuatu yang tidak kena dengan projek itu, kami akan mengenal pasti masalahnya dan mencari jalan penyelesaian.
“Kami selalunya mengadakan mesyuarat untuk menilai projek-projek yang sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang di sini semalam.
Yong berkata terdapat 60 kesemuanya projek ‘sakit’ di bawah kementerian beliau di seluruh negara, dengan kos keseluruhan sebanyak RM21 bilion.
Menurut beliau, semua projek itu dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Selain kenaikan harga bahan binaan dan masalah tanah gambut, Yong berkata masalah lain yang turut dihadapi ialah pengurusan projek yang lemah.
“Satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya sendiri sudah berjumpa empat kali bagi mencari jalan penyelesaian kepada projek itu.
“Kita mungkin dapat me-nyiapkan 25 peratus projek sakit, sekali gus menurunkan jumlah daripada 60 kepada 15 projek sahaja,” ujarnya.
Dalam perkembangan ber-kaitan, Yong berkata 56 pe-ratus projek kementeriannya di bawah RMK-9 sudah dilaksanakan sejak 2006.
“Sehingga kini, 56 peratus, atau separuh projek sudah bermula dalam tempoh dua setengah tahun dan kita masih ada baki dua tahun lagi. Kita mahu melaksanakan semuanya dan saya berpuas hati terhadap kemajuan yang kita capai setakat ini,” jelasnya.




