|
KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar memberitahu pembinaan kompleks DUN yang baru kini agak lewat siap kerana ia sepatutnya siap sepenuhnya pada September lalu.
“Memang ada kelewatan sedikit… tetapi ingin saya tegaskan di sini, apa yang lebih mustahak pembinaan kompleks DUN yang baru mesti dilakukan dengan penuh cermat, halus dan licin.
“Biarlah lewat sedikit. Saya sendiri tidak tahu bila ia akan siap seratus peratus. Biar lambat sedikit asalkan kualiti pembinaanya terjamin.
“Nanti kalau sudah siap bocor sana, bocor sini pun tak guna lebih teruk ia akan menjadi usul dalam Parlimen,” katanya kepada pemberita semalam.
Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat prapersidangan DUN Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Menurutnya dalam pembinaan bangunan besar seperti kompleks DUN yang dilengkapi pelbagai kemudahan, pelaksanaan teliti dan terperinci amat penting.
“Ini adalah bangunan parlimen dan tidak hanya digunakan untuk beberapa bulan tetapi bertahun-tahun. Oleh itu kualitinya mesti diberi keutamaan,” katanya.
Asfia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop bagaimanapun percaya kompleks DUN baru itu akan dapat digunakan untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Mei 2009.
“Kemungkinan besar persidangan kali ini adalah yang terakhir diadakan di bangunan DUN sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu Asfia memberitahu bangunan DUN sekarang akan dijadikan tempat menganjurkan acara-cara rasmi, galeri seni dan pusat budaya.
Sementara itu baru-baru ini Setiausaha DUN Abang Othman Abang Fata berkata, kompleks DUN baru yang kini hampir siap sepenuhnya dijangka dapat digunakan pada Mei atau Jun depan.
Terletak di atas bukit, di tebing Sungai Sarawak dan bersebelahan dengan Astana, bangunan sembilan tingkat itu mempamerkan ciri-ciri seni bina moden dan canggih.
“Secara peribadi saya memang kagum dengan binaan bangunan yang boleh dikatakan bangunan Dewan Undangan Negeri paling menarik di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kerja-kerja pembinaan dilaksanakan secara usaha sama antara PPES Works Sdn Bhd dan Naim Cendera Sdn Bhd.
Pada mulanya, bangunan yang mampu memuatkan 108 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika persidangan itu dijangka dapat disiapkan menjelang Mac 2008.
Kompleks yang dibina dengan kos antara RM250 juta hingga RM300 juta itu dilengkapi dewan santapan, pejabat pentadbiran, dewan utama persidangan, lobi dan surau.
Pembinaan kompleks berbumbungkan ‘payung’ yang terletak di kawasan strategik di bandar raya Kuching itu menjadi mercu tanda negeri dan melambangkan amalan demokrasi yang bertunjangkan kepada perpaduan rakyat.
Struktur bangunan itu merupakan kombinasi elemen-elemen unik warisan seni negeri ini yang direka dengan sistem keselamatan kukuh, kemudahan komunikasi multimedia dan ciri-ciri mesra alam.
Bangunan yang dibina atas tanah seluas 172 ekar itu akan menggantikan kompleks DUN sekarang yang dibina pada 1974.
DUN Sarawak yang dibentuk pada tahun 1867 merupakan DUN tertua di Malaysia.
|
Leave a Reply