Ia berpotensi dikembangkan di pasaran tempatan dan luar negara
KUCHING: Penternakan ikan keli berpotensi besar diperkembangkan di pasaran tempatan dan luar negara selain mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
“Pasaran di Kuching sahaja kini memerlukan lebih kurang lima tan ikan keli hidup sehari untuk dipasarkan.
“Selain itu, bagi pasaran eksport iaitu ke Indonesia pula, dianggarkan 500 tan seminggu diperlukan untuk ikan keli hidup.
“Pasaran semasa amat memerlukan bekalan ikan keli yang semakin berkurangan ketika ini.
“Sebagai contoh di pasaran Semenanjung Malaysia, pengguna memerlukan 100 tan ikan keli hidup sehari,” kata jurucakap Persatuan Usahawan dan Usahanita Bumiputera Sarawak (PUBS) Nazri Bolhassan ketika ditemui pada Kursus Penternakan Ikan Keli, di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat di negeri ini mengambil peluang menceburi bidang penternakan ikan keli bagi meningkatkan pendapatan dan seterusnya menyahut saranan kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar.
“Menceburi bidang penternakan ikan keli, seseorang itu tidak perlu mengeluarkan belanja besar.
“Ini kerana anda hanya perlu memiliki tempat menternak ikan dan sedikit modal membeli anak ikan keli,” katanya.
Beliau malah menjelaskan pada masa sekarang bukan sahaja ikan hidup dipasarkan tetapi turut merangkumi ikan salai, ikan masin dan serunding.
“Oleh itu, pada masa sekarang pasaran ikan keli amat besar sehinggakan ada pihak dari Brunei turut berminat untuk mempelajari mengenai penternakan ikan keli,” katanya.
Menurutnya, kini penglibatan Bumiputera dalam penternakan ikan keli juga amat menggalakkan.
“Sejak beberapa bulan yang lepas, setelah PUBS memperkenalkan mengenai bidang penternakan ikan keli, ramai Bumiputera yang ingin menceburinya termasuk dengan mengikuti kursus penternakan yang dianjurkan PUBS,” katanya.
Selain itu, menurut Nazri, apa yang dilakukan PUBS pada masa ini adalah membeli balik ikan keli yang telah diternak oleh ahli PUBS dengan harga RM5 untuk setiap satu kilogram ikan keli.
“Usaha ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat menceburi pen-ternakan ikan keli,” ujarnya.
Sementara itu, seramai 40 peserta telah mengikuti kursus penternakan ikan keli yang diadakan di Ainul Agrobest.
Penganjuran kursus berkenaan bertujuan memberi pengetahuan kepada peserta mengenai penternakan ikan keli.




